Lima tonggak Selangor mula tugasan negara

Lima tonggak utama skuad Liga Super Selangor telah melaporkan diri untuk tugasan negara, hari ini iaitu masing-masing dua pemain di Johor Bahru dan tiga pemain di Kelana Jaya.

Penjaga gol, Khairulazhan Khalid, 28, dan pemain yang baru saja kembali menyarung jersi Selangor minggu lalu, Amri Yahyah, 36, tersenarai antara 26 pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan bimbingan Nelo Vingada.

Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya itu akan bermula malam ini di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Johor Bahru bagi persiapan menghadapi perlawanan sulung Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Jun ini.

Sementara tiga pemain muda Selangor iaitu Syahmi Safari, 19, Adam Nor Azlin, 21, dan K Kannan, 21, pula akan memulakan kem latihan pusat skuad B-22 negara di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee di Padang Wisma FAM, Kelana Jaya bermula petang ini.

Skuad Projek Sukan SEA 2017 akan ke China pada 8 hingga 16 Jun ini untuk tiga perlawanan persahabatan sebelum kembali ke tanah air dan berlatih sehingga 23 Jun sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2018 di Bangkok, Thailand pada Julai ini dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Ogos depan.