Liga Super: Sime Darby FC 1 Selangor 3

Selangor kembali menemui sentuhan kemenangan apabila berjaya menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-1 pada perlawanan ke-18 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super.

Kemenangan kelapan liga itu yang diraih selepas Selangor sekadar mencatat dua kekalahan dan dua keputusan seri pada empat perlawanan terdahulu, dibantu kekalahan penghuni posisi ketiga liga sebelum ini, Perak kepada Felda United FC 2-0 di Ipoh.

Berbaki hanya empat lagi perlawanan, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas tangga teratas liga dengan kini mengumpul 40 mata selepas menewaskan ATM 1-0 di Paroi diikuti Pahang yang turun ke tangga kedua dengan kekal 39 mata selepas tewas 4-2 kepada Lions XII di gelanggang lawan.

Selangor kini di tangga ketiga dengan 29 mata, sama mata dengan pasukan di tangga keempat hingga keenam – Felda United FC, Terengganu dan Lions XII, diikuti PDRM di tangga ketujuh dengan 28 mata dan Perak yang turun ke tangga kelapan dengan 27 mata.

Di Selayang malam tadi, Selangor kembali mendapatkan khidmat pemain tengah import dari Brazil, Leandro dos Santos yang selesai penggantungan dua perlawanan selepas mengumpul enam kad kuning.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-19 selepas pemain pertahanan, Rizal Fahmi Rosid berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma diambil Andik Vermansah dari sebelah kiri.

Kedudukan semakin selesa buat Selangor apabila dihadiahkan pula sepakan penalti pada minit ke-26 yang mudah disempurnakan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula untuk pelawat mendahului 2-0.

Namun kelekaan Selangor ketika bertahan membolehkan Sime Darby merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-31 apabila penyerang importnya, Reinaldo Da Costa menanduk deras bola sepakan sudut Fahrul Razi Kamaruddin untuk menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.

Bersambung separuh masa kedua, jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria membawa masuk seorang lagi penyerang importnya, Nemanja Vidakovic dalam usaha mencari gol penyamaan.

Jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic pula membawa tenaga baharu di barisan depan apabila memasukkan Abdul Hadi Yahaya untuk menggantikan Afiq Azmi pada minit ke-63.

Hasilnya gol ketiga Selangor berjaya diperoleh pada minit ke-80 apabila Abdul Hadi mudah menyudahkan bola hantaran De Paula dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol Sime Darby, Kamarul Effandi Abdul Rahim.

Selangor selepas ini akan bertemu ATM di Stadium Shah Alam, Rabu ini disusuli aksi di tempat lawan berdepan Lions XII di Stadium Jalan Besar pada Sabtu (15 Ogos).

SIME DARBY FC: 1. Kamarul Effandi Abdul Rahim, 37. Nur Areff Kamaruddin, 35. Mohd Akmal Md Zahir, 18. Juzaili Samion (c), 6. Tengku Qayyum Ubaidillah Tengku Ahmad, 7. Fahrul Razi Kamaruddin (3. Rafizi Hamdan 77′), 38. Dzulfahmi Abdul Hadi, 49. Fadzli Saari, 19. Khairul Anuar Shahrudin, 13. Nazrul Kamaruzaman (20. Nemanja Vidakovic 62′), 50. Reinaldo Da Costa.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos (25. K Gurusamy 90+2′), 10. Nazmi Faiz Mansor (23. S Veenod 71′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahaya 63′), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Tiong Eng Tai