Liga Super: Selangor 3 Kelantan 0

Selangor berjaya mengukuhkan kedudukan untuk menamatkan saingan Liga Super 2015 di tangga ketiga selepas mudah menewaskan Kelantan 3-0 pada perlawanan ke-21 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kelantan kendalian Zahasmi Ismail tampak pincang apabila turun tanpa empat tonggak yang digantung perlawanan – Norhafiz Zamani Misbah, Mohd Noor Hazrul Mustafa, Austin Amutu dan Gilmar da Silva sambil penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat direhatkan di bangku simpanan.

Ahmad Hazwan Bakri membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi satu sepakan percuma kaki kiri yang terus melencong ke penjuru gawang Kelantan menewaskan Shahrizan Ismail untuk skuad skuad Mehmet Durakovic itu mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor terus selesa di hadapan apabila Guilherme De Paula melakukan larian pantas melepasi pertahanan Kelantan sebelum membuat satu lambungan cantik menewaskan Shahrizan pada minit ke-49 untuk kedudukan 2-0.

Dua minit berselang, Andik Vermansah hampir menambah jaringan tetapi sepakan cantik dari luar kotak penalti dilakukan pemain sayap import Selangr dari Indonesia itu berjaya ditepis Shahrizan lalu sekadar menggegar palang gol Kelantan.

Akhirnya gol ketiga Selangor menjelma pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti De Paula selepas Ahmad Hazwan dijatuhkan Shahrizan untuk jaringan kedua peribadi penyerang import dari Brazil itu.

Selangor bagaimanapun terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah pada minit ke-89, namun kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat.

Bagi perlawanan terakhir liga, Selangor akan bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh, Sabtu ini.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar (3. Azmi Muslim 80′), 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos (23. S Veenod 60′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (24. Fittri Shazwan Raduwan 75′), 19. Afiq Azmi, 13. Guilherme De Paula.

KELANTAN: 30. Shahrizan Ismail, 5. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 4. Jonathan McKain, 6. Farisham Ismail, 3. Fitri Omar, 10. Nor Farhan Muhammad, 12. Amar Rohidan (33. Amir Zikri ’78’), 16. Badhri Radzi, 11. Wan Zack Haikal Wan Nor (32. Qayyum Marjoni 80′), 23. Khairul Izwan Rosli (36. Fakhrul Zaman 59′), 9. Erwin Carrillo.

Pengadil: Suhaizi Shukri