Liga Super: Selangor 2 Terengganu 0

Selangor terus menghimpit dua pasukan teratas Liga Super, Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas berjaya mencatat kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan seri 1-1 antara Pahang dan JDT di Kuantan membolehkan Selangor kini hanya tiga mata di belakang pendahulu, Pahang (27 mata) dan kurang satu mata berbanding pasukan tangga kedua, JDT (25 mata).

Selepas 13 perlawanan, Selangor kekal di tangga ketiga, berkongsi 24 mata dengan pasukan tangga keempat, Perak yang menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-1 di Selayang.

Gol pertama Selangor hadir seawal minit keempat apabila tandukan tipis Afiq Azmi disudahkan Abdul Hadi Yahya yang memperdaya pertahanan Terengganu, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli.

Terengganu cuba bangkit, namun rembatan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-15 sekadar menggegar jaring tepi gawang Selangor yang dikawal Hamsani Ahmad.

Sebaliknya Selangor terus selesa apabila memperoleh gol kedua pada minit ke-23 selepas sepakan sudut Andik Vermansah yang ditanduk Afiq sekadar ditepis Sharbinee lalu menggegar palang sebelum Robert Cornthwaite tenang menolak masuk bola di depan pintu gol Terengganu.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus dihidang beberapa peluang terbaik tetapi gagal disempurnakan barisan depannya terutama Afiq untuk menambah jaringan tatkala Terengganu tanpa penyerang import, Paulo Rangel yang digantung

tiga bulan tampak terus buntu.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pendahulu liga, Pahang di Stadium Shah Alam pada 4 Julai ini (Sabtu).

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 83′), 7. Andik Vermansah, 10. Nazmi Faiz Mansor, 25. K Gurusamy, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahya (8. Leandro dos Santos 71′), 19. Afiq Azmi (12. Bunyamin Umar 78′).

TERENGGANU: 11. Sharbinee Allawee Ramli, 21. Helmi Remeli, 13. Hasmizan Kamarodin, 19. Ahmad Azlan Zainal (14. Fakhrurazi Musa 78′), 16. Zubir Azmi (12. Hafizal Mohamad 49′), 23. Abdul Manaf Mamat, 18. Ahmad Nordin Alias (c), 20. Shahrin Sapien (7. Zairo Anuar Zalani 35′), 22. Ashari Samsudin, 8. Gustavo Lopez, 45. Norshahrul Idlan Talaha.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamad