Liga Super: Selangor 1 PDRM 1

Selangor kekal di tangga kelima Liga Super selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan PDRM pada perlawanan ke-16 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jaringan awal penyerang import PDRM, Ashfaq Ali nyaris memberikan kekalahan ketiga berturut-turut buat Selangor, mujur pemain sayap dari Indonesia, Andik Vermansah muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada penghujung permainan.

Berbaki enam perlawanan liga, Selangor kini mengumpul 25 mata untuk berada di belakang pendahulu, Pahang (36 mata), JDT (34 mata), Perak (27 mata) dan Felda United (25 mata) manakala PDRM kendalian Fauzi Pilus di tangga kelapan dengan 22 mata.

Pada perlawanan malam tadi, gawang Selangor bolos seawal minit kesembilan apabila lontaran jauh Azrul Azman ditanduk ke belakang oleh Faizal Abu Bakar sebelum disudahkan Ashfaq menerusi tandukan rendah yang menewaskan penjaga gol, Syamim Othman.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor bangkit mengatur serangan, namun beberapa percubaan menerusi Guilherme De Paula, Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor sama ada tersasar atau pun berjaya diselamatkan penjaga gol PDRM, Badrulzaman Halim.

Bermula babak kedua, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic terpaksa mengeluarkan pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite yang mengalami kecederaan dan memasukkan Rizal Fahmi Rosid untuk bergandingan dengan kapten, Shahrom Kalam.

PDRM hampir menambah jaringan kedua pada minit ke-49 tetapi rembatan kaki kiri Ashfaq sempat diselamatkan Syamim menggunakan kakinya.

Selangor selepas itu terus mengasak bertubi-tubi ke kubu PDRM untuk memburu gol penyamaan bermula dengan percubaan K Gurusamy di hadapan pintu gol selepas sepakan sudut Andik yang berjaya diselamatkan Badrulzaman pada minit ke-55.

Bagi memperkasakan barisan serangan, Durakovic membawa masuk Afiq Azmi menggantikan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-64 dan selang dua minit kemudian, tandukan Afiq hasil hantaran lintang Andik menggegar palang gol PDRM tetapi tindakan susulannya gagal menemui sasaran.

Gol penyamaan Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-89 apabila sepakan percuma Andik dari sebelah kiri berjaya memperdaya Badrulzaman untuk bola terus menjunam masuk ke penjuru gawang PDRM bagi menamatkan aksi dengan keputusan seri 1-1.

Selangor selepas ini akan bertemu Sarawak di Stadium Negeri, Kuching pada Rabu ini (5 Ogos) disusuli aksi bertemu Sime Darby FC di Stadium Selayang, Sabtu ini (8 Ogos).

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite (17. Rizal Fahmi Rosid 46′), 5. Shahrom Kalam (c), 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 25. K Gurusamy, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (24. Fittri Shazwan Raduwan 80′), 14. Abdul Hadi Yahya (19. Afiq Azmi 64′), 13. Guilherme De Paula.

PDRM: 22. Badrulzaman Halim, 3. Arman Fareez Ali, 19. Afif Amiruddin (c), 15. Azrul Azman (34. Osman Damanhuri 85′), 4. Ahmad Nizam Rodzi (49. Khairul Izwan Abdullah 90+2′), 16. Faizal Abu Bakar (20. Isma Alif Salim 77′), 9. Shahurain Abu Samah, 8. Ahmad Ezrie Shafizie, 23. Fekry Tajudin, 7. Ashfaq Ali, 10. Dramane Traore.

Pengadil: Suhaizi Shukri