Liga Super: Selangor 1 Felda United 0

Selangor kekal di tangga ketiga Liga Super apabila saingan pusingan kedua bersambung selepas skuad kendalian Mehmet Durakovic itu berjaya menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Gol tunggal menerusi pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite pada minit ke-38 sudah cukup untuk membantu Selangor meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Selepas 12 perlawanan, Selangor kini berkongsi 21 mata dengan pasukan tangga keempat, Perak untuk mengekori pendahulu liga, Pahang (26 mata) dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim di tangga kedua (24 mata).

Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim pula kekal di tangga keenam, berkongsi 18 mata dengan pasukan tangga kelima, PDRM.

Pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa pemain tengah import, Leandro dos Santos yang digantung perlawanan manakala Felda United tanpa tonggak pertahanan import, Bojan Miladinovic dan Hasni Zaidi Jamian yang menerima nasib sama.

Dua percubaan pemain sayap Selangor, Ahmad Hazwan Bakri menerusi sepakan percuma pada minit ke-10 dan rembatan dari luar kotak penalti, minit ke-24 berjaya ditepis baik penjaga gol Felda United, Fairul Azwan Shahrullai.

Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-38 apabila Cornthwaite menolak masuk bola ke gawang Felda United ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol susulan sepakan percuma diambil K Gurusamy.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga waktu rehat.

Bersambung babak kedua, Selangor hampir menambah jaringan pada minit ke-53, namun percubaan Abdul Hadi Yahya berjaya ditepis keluar Fairul Azwan.

Felda United turut beroleh peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi rembatan kaki kiri Ndumba Makeche pada minit ke-62 berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Seminit kemudian, Abdul Hadi mendakwa dia dijatuhkan Fairul Azwan, namun pengadil, Zamzaidi Katimin enggan memberikan sepakan penalti.

Hamsani sekali lagi bertindak cemerlang pada minit ke-73 untuk menepis keluar sepakan percuma diambil Adib Aizuddin Latif disusuli ketenangannya menyelamatkan tandukan tipis Makeche di depan pintu gol, minit ke-81.

Selangor selepas ini akan menanti pula kunjungan pasukan tangga kelapan, Terengganu di Stadium Shah Alam, Sabtu ini (27 Jun).

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (12. Bunyamin Umar 90+2′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 25. K Gurusamy, 11. Ahmad Hazwan Bakri (23. S Veenod 86′), 14. Abdul Hadi Yahya, 19. Afiq Azmi (24. Fittri Shazwan Raduwan 74′).

FELDA UNITED: 1. Fairul Azwan Shahrullai, 19. Firdaus Faudzi , 3. Shahrul Saad, 12. Shukor Adan (c), 5. Adib Aizuddin Latif, 9. Ndumba Makeche, 8. Shahrulnizam Mustapa (17. Fauzan Dzulkifli 82′), 10. Zah Rahan Krangar, 11. Ahmad Syamim Yahya (45. Christie Jayaseelan 46′), 23. Indra Putra Mahayuddin (33. Hadin Azman 67′), 49. Thiago Augusto.

Pengadil: Zamzaidi Katimin