Liga Super: Sarawak 1 Selangor 1

Selangor mencatat keputusan seri kedua berturut-turut selepas diikat Sarawak 1-1 pada perlawanan ke-17 Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Gol pendahuluan Andik Vermansah pada minit ke-39 hampir memastikan tiga mata penuh mampu dibawa pulang Selangor, namun Sarawak akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Patrick Gerhardt pada minit ke-75.

Terdahulu jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic melakukan beberapa perubahan dalam barisan kesebelasannya dengan kembali mempertaruhkan penjaga gol Norazlan Razali, Rizal Fahmi Rosid dan S Veenod.

Seawal minit ke-12, Selangor menguji kubu Sarawak menerusi rembatan kencang Guilherme De Paula hasil hantaran Ahmad Hazwan Bakri yang bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Iqbal Suhaimi.

Sesekali Sarawak turut mencemaskan benteng Selangor termasuk tandukan Ryan Griffiths pada minit ke-29 yang sedikit tersasar.

Gol Selangor akhirnya terhasil pada minit ke-39 menerusi gerakan solo Andik yang memperdayakan dua pertahanan Sarawak sebelum pemain sayap dari Indonesia itu menewaskan Iqbal untuk kedudukan 1-0 tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Selangor hampir menambah jaringan pada minit ke-54, namun tandukan Afiq di depan pintu gol hasil sepakan sudut Andik kurang kemas.

Pada minit ke-60, serangan balas Sarawak hampir memerangkap Selangor, mujur Norazlan tangkas menyelamatkan percubaan Billy Mehmet.

Namun gawang Selangor bocor juga pada minit ke-75 apabila Sarawak berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi penyudah kemas Gerhardt.

Usaha terakhir Selangor untuk mencari gol kemenangan tidak kesampatan apabila percubaan De Paula ketika keadaan kelam kabut di depan gawang Sarawak pada minit ke-84 sedikit tersasar.

Berbaki lima perlawanan, Selangor kini di tangga keempat Liga Super dengan 26 mata – sama mata dengan pasukan tangga kelima hingga ketujuh – Felda United, Terengganu dan Lions XII.

Pahang kekal di tangga teratas dengan 39 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) 37 mata dan Perak 27 mata.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Stadium Selayang untuk bertemu pasukan tercorot, Sime Darby FC, Sabtu ini.

SARAWAK: 21. Iqbal Suhaimi, 2. Ronny Harun (c), 5. A Varathan, 9. Billy Mehmet, 12. Rames Lai, 13. Dzulazlan Ibrahim (20. Shreen Tambi 68′), 17. Hairol Mokhtar, 19. Joseph Kalang Tie (33. Nur Shamie Iszuan 90′), 23. Ryan Griffiths, 26. Ivan Fatic (22. Mazwandi Zekeria 87′), 47. Patrick Gerhardt.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 12. Bunyamin Umar, 7. Andik Vermansah, 10. Nazmi Faiz Mansor, 23. S Veenod, 11. Ahmad Hazwan Bakri (24. Fittri Shazwan Raduwan 83′), 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahaya 79′), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Ahmad Zuhaidi Dzulkifli