Liga Super: JDT 3 Selangor 1

Selangor mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas 3-1 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan ke-15 Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kekalahan 3-1 kepada Pahang di Shah Alam, 4 Julai lalu dan JDT ini menyebabkan Selangor kendalian Mehmet Durakovic kini menghuni tangga kelima dengan 24 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, Pahang dan ketinggalan tujuh mata kepada JDT di tangga kedua.

Turun tanpa tonggak pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang digantung perlawanan, gawang Selangor bolos seawal minit ke-11 menerusi Amri Yahyah yang pantas menyudahkan bola lorongan Luciano Figueroa.

Pada minit pertama tambahan masa separuh masa pertama, Selangor berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Andik Vermansah dari sebelah kiri yang melantun lalu mengelirukan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Namun ia hanya bertahan dua minit apabila JDT berjaya memperoleh gol kedua menerusi tandukan Figueroa yang pantas menyambut hantaran lintang S Kunanlan dari sebelah kanan untuk menamatkan babak pertama dengan kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, jurulatih JDT, Mario Gomez membawa masuk Gary Steven Robbat menggantikan Nazrin Nawi bagi memperkuatkan jentera tengah manakala Selangor terpaksa mengeluarkan penjaga gol, Hamsani Ahmad yang cedera dan membawa masuk Syamim Othman pada minit ke-63.

Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan hadir seminit kemudian, namun sepakan percuma menarik daripada Leandro dos Santos berjaya ditepis keluar Farizal yang melayangkan badannya.

Sebaliknya JDT mematikan terus sisa perjuangan Selangor apabila berjaya memperoleh gol ketiga pada minit ke-79 menerusi sepakan percuma Figueroa yang gagal diselamatkan Syamim untuk jaringan kedua peribadi penyerang import dari Argentina itu.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan PDRM di Stadium Shah Alam, 1 Ogos ini.

JDT: 1. Farizal Marlias, 12. S Kunanlan, 6. Marcos Antonio, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak, 4. Asraruddin Putra Omar, 18. Mahalli Jasuli (42. Fazly Mazlan 65′), 8. Safiq Rahim (c), 21. Jasazrin Jamaludin, 20. Nazrin Nawi (13. Gary Steven Robbat 46′), 17. Amri Yahyah (27. Fadhli Shas 77′), 19. Luciano Figueroa.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad (1. Syamim Othman 63′), 12. Bunyamin Umar, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (25. K Gurusamy 73′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahya (19. Afiq Azmi 73′), 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Samsudin Ibrahim