Liga Super: Felda United 4 Selangor 4

Selangor bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Felda United 4-4 pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Super di Stadium Selayang, malam tadi.

Ketinggalan 4-2 pada minit ke-50, skuad kendalian Mehmet Durakovic itu tidak luntur semangat apabila berjaya menambah dua lagi gol untuk memastikan satu mata dari tempat lawan.

Felda United bimbingan Irfan Bakti Abu Salim turun tanpa kapten Shukor Adan yang digantung perlawanan manakala Selangor tanpa dua import, Robert Cornthwaite (digantung perlawanan) dan Guilherme De Paula (cedera).

Selangor di hadapan pada minit ke-13 apabila pemain sayap, Ahmad Hazwan Bakri meledak gol pertama tetapi ia hanya bertahan empat minit selepas penyerang import Felda United, Thiago Augusto menyamakan kedudukan, minit ke-17.

Felda kemudian tampil garang menambah dua gol, sekali lagi menerusi penyudah Thiago pada minit ke-23 dan sentuhan Indra Putra Mahayuddin yang diberi peranan kapten, minit ke-37 untuk seketika selesa mendahului 3-1.

Namun Selangor berjaya merapatkan jurang apabila Ahmad Hazwan merembat cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Felda United, Farizal Harun pada minit ke-40 untuk gol kedua peribadinya.

Felda United terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-45 selepas pertahanan kanan, Hasni Zaidi Jamian dilayangkan kad kuning kedua tetapi ia hanya kelebihan sementara Selangor sebelum pemain tengah import, Leandro dos Santos menerima nasib sama pada masa kecederaan babak pertama.

Bagi mengharungi baki 45 minit permainan dengan aksi 10 lawan 10, Selangor memulakan separuh masa kedua dengan Durakovic melakukan pertukaran memasukkan K Gurusamy menggantikan Afiq Azmi bagi menampung posisi tengah selepas ketiadaan Leandro.

Bagaimanapun Felda United yang terus berkedudukan selesa apabila seorang lagi penyerang import mereka, Ndumba Makeche menambah gol keempat pada minit ke-50.

Ketinggalan 4-2, Selangor bagaimanapun tidak berputus asa dan berjaya memperoleh gol ketiga menerusi tandukan Gurusamy pada minit ke-64 disusuli gol penyamaan hasil sepakan penalti Abdul Hadi Yahya, minit ke-77 selepas Ahmad Hazwan dijatuhkan Farizal.

Kedudukan 4-4 itu kekal sehingga wisel penamat dan kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi di Stadium Shah Alam, Selasa ini untuk aksi pertama pusingan kedua Liga Super.

Selepas 11 perlawanan, Pahang di tangga teratas dengan 23 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 21 mata manakala Selangor di tangga ketiga dengan 18 mata, berkongsi mata dengan Perak, PDRM dan Felda United untuk enam kedudukan teratas.

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun, 26. Hasni Zaidi Jamian, 4. Bojan Miladinovic, 7. Khairul Ismail, 18. Aizul Ridzwan Razali, 9. Ndumba Makeche, 3. Shahrul Saad, 10. Zah Rahan Krangar, 11. Ahmad Syamim Yahya (45. Christie Jayaseelan 70′), 23. Indra Putra Mahayuddin (c) (19. Firdaus Faudzi 70′), 49. Thiago Augusto (25. Ferris Danial Mat Nasir 84′).

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim (15. Raimi Md Nor 72′), 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (9. A Thamil Arasu 90+1′), 14. Abdul Hadi Yahya, 19. Afiq Azmi (25. K Gurusamy 46′).

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob