ABK17

Liga Super: Terengganu FC 4 Selangor 1

Selangor mengalami kekalahan sulung musim ini selepas tewas 4-1 kepada Terengganu FC pada perlawanan ketiga Liga Super 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi, sekali gus terpaksa melepaskan status pendahulu liga yang dipegang sejak dua aksi terdahulu.

Jurulatih Selangor, P Maniam menukar dua pemain dalam kesebelasan ketika membenam Melaka 4-1 di Cheras, Rabu lalu dengan kembalinya penyerang import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn yang cedera ketika aksi sulung membenam Kuala Lumpur 2-0 pada Ahad lalu serta permulaan buat pertahanan muda, M Tamil Maran mengisi tempat Fairuz Abdul Aziz.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor ketinggalan 1-0 menerusi rembatan deras luar kotak penalti Lee Tuck yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali pada minit ke-33.

Terengganu FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-59 menerusi penyudah depan gawang oleh Shahrul Aizad Zulkifli berpunca dari sepakan percuma Tuck dari sebelah kanan.

Selangor terus tertekan apabila Terengganu FC mendahului 4-0 selepas berjaya menambah dua lagi gol dalam tempoh dua minit menerusi penyudah ketua pasukannya, Kipre Tchetche pada minit ke-66 dan lambungan jauh Tuck dari tengah padang pada minit ke-68.

Ketika permainan menuju babak akhir, Selangor akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-89 menerusi sepakan lambung Amri Yahyah hasil hantaran Ilham Udin yang memerangkap penjaga gol Terengganu, Suffian Rahman untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-1.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Pahang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu, 24 Februari untuk perlawanan keempat Liga Super 2018.

TERENGGANU FC: 29. Suffian Rahman; 4. Kamal Azizi Zabri, 24. Igor Zonjic, 17. Nasrullah Haniff Johan, 3. Fitri Omar; 7. Lee Tuck, 8. Thierry Chanhta Bin (13. Latiff Suhaimi 87′), 12. Shahrul Aizad Zulkifli; 15. Faiz Nasir (30. Ashari Samsudin 84′), 10. Abdul Malik Mat Arif (9. Lee Jun-hyeob 74′), 23. Kipre Tchetche (C).

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 23. Willian Pacheco, 27. M Tamil Maran; 30. D Kugan (7. Sean Eugene Selvaraj 85′), 14. Alfonso De La Cruz Calero (8. Saiful Ridzuwan Selamat 62′), 6. Evan Dimas, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari (17. Amri Yahyah 57′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Fitri Maskon