Liga Super: Terengganu 3 Selangor 1

Selangor mengalami kekalahan sulung pada saingan Liga Super 2016 selepas tewas 3-1 kepada Terengganu pada perlawanan kelima di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam tadi.

Kekalahan menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu terpaksa melepaskan kedudukan tangga teratas Liga Super kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkelebihan perbezaan gol biarpun kedua-dua pasukan berkongsi 10 mata.

Biarpun jaringan cantik R Gopinathan pada minit ke-47 berjaya memadam gol pendahuluan Terengganu menerusi Issey Nakajima-Farran pada minit ke-45, tuan rumah kendalian Mike Mulvey kemudian menambah dua lagi gol hasil jaringan Juan Morales minit ke-80 dan sekali lagi Nakajima-Farran minit ke-88.

Pada aksi malam tadi, Zainal kembali menurunkan Khairulazhan Khalid, Razman Roslan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Raimi Md Nor yang direhatkan ketika Selangor tewas 1-0 kepada Tampines Rovers pada aksi Piala AFC di Selayang, Selasa lalu.

Seawal minit kelima, Mauro Olivi nyaris meletakkan Selangor di hadapan tetapi sepakannya selepas melepasi penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli sekadar menggegar jaring tepi gawang tuan rumah.

Dua minit berselang, gawang Selangor terselamat apabila Nazmi Faiz Mansor berjaya mengeluarkan bola tandukan Nakajima-Farran selepas sepakan sudut.

Terengganu terus mengasak dan pada minit ke-26, tandukan Amirul Syahmi Asha’ri hampir memerangkap Khairulazhan tetapi mujur sedikit sipi ke kanan gawang Selangor.

Pada minit ke-42, sepakan kencang Nazmi Faiz dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas Sharbinee manakala seminit kemudian, giliran pemain sayap Terengganu, Ashari Samsudin melepaskan sepakan lencong kaki kiri tetapi berjaya ditepis Khairulazhan.

Gawang Selangor akhirnya bocor pada masa kecederaan babak pertama apabila sepakan kaki kiri Nakajima-Farran dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Khairulazhan untuk tuan rumah mendahului 1-0 menuju bilik persalinan.

Pada masa sama, Zainal terpaksa mengeluarkan Andik Vermansah yang mengalami kecederaan dan digantikan oleh S Veenod.

Bersambung babak kedua, Selangor hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan 1-1 apabila sepakan lambung kaki kanan dari jarak jauh oleh Gopinathan berjaya memerangkap Sharbinee di gawang Terengganu.

Gopinathan kemudian hampir meletakkan Selangor di hadapan pada minit ke-72 tetapi rembatan kaki kirinya sambil berlari dari sebelah kiri sekadar menggegar tiang kanan gawang Terengganu.

Namun menuju 10 minit terakhir, Terengganu berjaya menambah dua lagi gol apabila Morales mudah menyudahkan bola muntah percubaan awal Nakajima-Farran yang ditepis Khairulazhan pada minit ke-80 disusuli jaringan kedua peribadi Nakajima-Farran menerusi tandukan terbang hasil hantaran Joseph Kalang Tie dari sebelah kanan pada minit ke-88.

Selepas pulang ke Shah Alam, pagi ini, Selangor akan terbang pula ke Dhaka, Bangladesh pada pagi Ahad untuk menghadapi perlawanan ketiga Piala AFC bertemu Sheikh Jamal Dhanmondi pada Selasa ini.

TERENGGANU: 17. Sharbinee Allawee Ramli, 6. Yong Kuong Yong, 13. Hasmizan Kamarodin, 5. Vincent Bikana, 16. Zubir Azmi, 11. Issey Nakajima-Farran (21. Affizie Faisal Mamat 89′), 30. Sharin Sapien, 18. Ahmad Nordin Alias (C), 26. Ashari Samsudin (19. Joseph Kalang Tie 57′), 8. Gustavo Lopez, 22. Amirul Syahmi Asha’ri (10. Juan Morales 74′).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (23. S Veenod 45+3′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 21. Hafiz Kamal (9. Adam Nor Azlin 86′), 25. R Gopinathan, 16. Mauro Olivi (14. Abdul Hadi Yahaya 89′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Zohri Tajuddin