Liga Super: Terengganu 2 Selangor 0

Selangor gagal mencuri mata di gelanggang lawan apabila tewas 2-0 kepada Terengganu pada perlawanan sulung Liga Super 2015 yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Gol setiap babak oleh Ismail Faruqi Ashari pada minit ke-37 dan sepakan percuma pemain import dari Argentina, Gustavo Lopez minit ke-72 memastikan tiga mata penuh diraih Terengganu di hadapan penyokong sendiri.

Separuh masa pertama menyaksikan Selangor kendalian Mehmet Durakovic memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Seawal minit pertama, rembatan pemain tengah import Selangor, Leandro dos Santos dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.

Terengganu tidak mengalah apabila turut mencuba pada minit kelapan menerusi bekas penyerang import Selangor musim lalu, Paulo Rangel yang rembatan jarak jauhnya berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor berjaya menggegar jaring gol Terengganu pada minit ke-18 tetapi jaringan dilakukan Hazwan Bakri itu dibatalkan pengadil selepas dia dikesan berkedudukan ofsaid ketika menyudahkan bola berpunca daripada sepakan percuma Andik Vermansah dari sebelah kiri.

Selang seminit kemudian, Terengganu pula berpeluang memecah kebuntuan, namun percubaan Abdul Manaf Mamat sempat ditepis keluar oleh Norazlan untuk menyelamatkan seketika gawang Selangor.

Pada minit ke-25, Hazwan melakukan rembatan kaki kanan dari luar kotak penalti tetapi bola sekadar menggegar tiang sebelah kiri tatkala Sharbinee sudah pun tertewas.

Hazwan yang beraksi di posisi sayap sekali lagi berpeluang pada minit ke-32, namun selepas mengatasi Vincent Bikana di dalam kotak penalti Terengganu, rembatannya berjaya dihadang kemas oleh Sharbinee.

Terengganu pula kemudian mendapat berpeluang pada minit ke-35 apabila tandukan Ashari Samsudin selepas menyambut bola sepakan sudut berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh pemain pertahanan kanan Selangor, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Bagaimanapun gawang Selangor gagal bertahan lama apabila bolos juga pada minit ke-37 menerusi rembatan voley menarik Ismail Faruqi selepas Norazlan tiada di gawang kerana keluar menumbuk bola sepakan sudut untuk membolehkan Terengganu memperolehi gol pertama.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung separuh masa kedua, Terengganu hampir menambah jaringan pada minit ke-54, namun sepakan percuma Lopez dari sebelah kiri yang ditanduk tipis Rangel berjaya ditepis keluar oleh Norazlan.

Namun gawang Selangor bolos buat kali kedua pada minit ke-72 menerusi sepakan percuma cantik Lopez yang gagal diselamatkan Norazlan untuk Terengganu kendalian Abdul Rahman Ibrahim selesa mendahului 2-0.

Durakovic lantas melakukan dua pertukaran serentak, dua minit kemudian dengan memasukkan Nazmi Faiz Mansor dan A Thamil Arasu menggantikan S Veenod dan Andik bagi menambah sengat di barisan depan.

Bagaimanapun tiada jaringan berjaya dihasilkan untuk Selangor pulang hampa ke Shah Alam tanpa mencuri sebarang mata.

Perlawanan kedua Liga Super akan berlangsung 14 Februari ini (Sabtu) menyaksikan Selangor sekali lagi beraksi di gelanggang lawan bertemu Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

TERENGGANU: 11. Sharbinee Allawee Ramli, 21. Helmi Remeli, 5. Vincent Bikana, 19. Azlan Zainal, 16. Zubir Azmi, 25. Ismail Faruqi Ashari (14. Fakhrurazi Musa ’64), 18. Ahmad Nordin Alias (c), 8. Gustavo Lopez, 22. Ashari Samsudin (20. Shahrin Sapien ’78), 23. Abdul Manaf Mamat (7. Zairo Anuar Zalani ’83), 9. Paulo Rangel.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 3. Azmi Muslim, 11. Hazwan Bakri, 23. S Veenod (10. Nazmi Faiz Mansor ’74), 8. Leandro dos Santos, 7. Andik Vermansah (9. A Thamil Arasu ’74), 14. Abdul Hadi Yahya, 13. Guilherme De Paula.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar