Liga Super: Selangor 4 T-Team 2

Selangor memulakan aksi selepas saingan Liga Super 2017 berehat panjang dengan langkah kanan apabila berjaya menamatkan kemarau kemenangan menewaskan T-Team 4-2 pada perlawanan ke-14 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk kembali merampas kedudukan tangga kelima daripada Kelantan.

Selepas menewaskan Sarawak di laman sendiri pada 8 April lalu, skuad kendalian P Maniam itu gagal meraih mata penuh pada empat perlawanan berturut apabila seri 2-2 dengan Pahang di Kuantan, tewas 1-0 kepada T-Team di Kuala Terengganu, seri 1-1 dengan Sarawak di Kuching dan tewas 2-0 kepada Pahang di Selayang pada 24 Mei lalu.

Pada aksi malam tadi, biarpun diikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, Selangor tampil garang merobek gawang T-Team kendalian Rahmad Darmawan sebanyak empat kali pada babak kedua menerusi dua jaringan pemain muda berusia 19 tahun, Syahmi Safari serta masing-masing satu gol daripada Francis Forkey Doe dan penyerang import baharu dari Sepanyol, Rufino Segovia.

Selangor sepatutnya sudah pun di hadapan pada babak pertama tetapi percubaan depan gol oleh Forkey Doe pada minit ke-13 mudah didakap kemas Hafidz Romly sementara rembatan jarak jauh Rufino pada minit ke-23 turut berjaya diselamatkan penjaga gol T-Team itu.

Peluang terbaik Selangor kemudian hadir pada minit ke-34 selepas Rufino sudah pun berjaya menewaskan Hafidz, namun bola tolakannya sempat dikeluarkan pertahanan import T-Team, Abdoulaye Maiga di atas garisan gol.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terus mengasak dan pada minit ke-48, rembatan deras pemain pertahanan import, Ugochukwu Ukah hampir mencemaskan gawang T-Team sebelum sempat diselamatkan oleh Hafidz.

Kebuntuan jentera depan Selangor akhirnya terlerai pada minit ke-53 apabila Syahmi yang mendapat ruang terbuka berjaya melepaskan sepakan kemas dari sebelah kanan menewaskan Hafidz untuk gol pertama tuan rumah.

Belum sempat T-Team memperkemas benteng pertahanannya, Selangor terus mengukuhkan kedudukan apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-55 menerusi tandukan Forkey Doe di depan gawang pelawat.

Ketinggalan dua gol, Rahmad melakukan pertukaran serentak dengan membawa masuk Nor Hakim Hassan dan Badrul Hisyam Morris bagi menggantikan dua pemain yang baru didaftarkan pada perpindahan kedua, Ooi Shee Keong dan Asrol Ibrahim pada minit ke-67.

Hasilnya T-Team berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Dilshod Sharofetdinov yang memanfaatkan keadaan kelam kabut di hadapan pintu gol Selangor.

Bagaimanapun ia tidak mencemaskan tuan rumah yang kembali mengganas dengan menambah dua lagi gol menerusi tandukan Rufino hasil hantaran Andik Vermansah pada minit ke-82 disusuli jaringan kedua peribadi Syahmi, minit ke-85 untuk Selangor kembali selesa mendahului 4-1.

T-Team kemudian berjaya memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti Yannick N’Djeng pada minit ke-88 tetapi ia sudah terlewat untuk menafikan kemenangan kelima Selangor bagi saingan liga musim ini.

Selangor dengan 20 mata selepas ini akan bertandang ke Stadium Perak, Ipoh untuk perlawanan ke-15 bertemu pasukan tangga keempat, Perak yang berkelebihan satu mata pada Selasa, 11 Julai ini.

Namun sebelum itu, Selangor terlebih dahulu akan mengharungi dua perlawanan sulung Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia 2017 bertemu Terengganu di Selayang pada Selasa ini (4 Julai) dan menentang Sarawak di Kuching, Sabtu ini (8 Julai).

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 81′), 29. Amri Yahyah, 15. Raimi Md Nor; 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan 85′), 10. Francis Forkey Doe (2. A Namathevan 89′), 30. Rufino Segovia.

T-TEAM: 1. Hafidz Romly; 4. Kamal Azizi Mohd Zabri, 3. Abdoulaye Maiga, 5. Hasbullah Awang (C), 29. Aqil Irfanuddin Sabri; 17. Syed Sobri Syed Mohd, 30. Dilshod Sharofetdinov, 56. Asrol Ibrahim (8. Badrul Hisyam Morris 67′), 53. Ooi Shee Keong (11. Nor Hakim Hassan 67′); 10. Mamadou Samassa, 55. Yannick N’Djeng.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob