Liga Super: Selangor 4 Sarawak 2

Selangor berjaya merampas tangga teratas Liga Super buat kali pertama musim ini selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan Sarawak 4-2 pada aksi sulung di laman sendiri ‘sementara’ di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Selangor kini berkongsi 10 mata tetapi dipisahkan perbezaan jaringan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga kedua selepas juara bertahan itu menewaskan pendahulu sebelum ini, Felda United 2-1 di Larkin.

Turun tanpa pemain sayap import dari Indonesia, Andik Vermansah yang kurang sihat, Selangor bagaimanapun ketinggalan seawal minit ketujuh menerusi sepakan kaki kiri Junior Aparecido hasil satu serangan balas yang berjaya menewaskan penjaga gol, Norazlan Razali.

Namun Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan berjaya beroleh dua gol pantas dalam tempoh tiga minit sejurus selepas kapten Sarawak, Ronny Harun terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-21.

Gol penyamaan Selangor dijaringkan R Gopinathan yang menyudahkan lorongan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-25 disusuli jaringan pendahuluan tuan rumah apabila Ronaldinho berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Gopinathan, minit ke-28.

Bersambung babak kedua, Selangor berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-56 menerusi jaringan kedua peribadi Ronaldinho selepas penyerang Liberia itu menyudahkan bola tampanan penjaga gol Sarawak, Iqbal Suhaimi daripada percubaan Mauro Olivi.

Sisa perjuangan Sarawak kendalian Datuk K Rajagobal dimusnahkan pemain pertahanan kanan, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang merembat kencang bola lorongan Olivi untuk gol keempat Selangor pada minit ke-67.

Sarawak bagaimanapun berjaya juga merapatkan kedudukan 4-2 pada minit ke-76 apabila Gilmar Da Silva mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan kapten Selangor, Shahrom Kalam.

Selangor selepas ini akan bertemu PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka, Jumaat ini untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 13. Razman Roslan, 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 79′), 23. S Veenod, 10. Nazmi Faiz Mansor, 21. Hafiz Kamal, 25. R Gopinathan (9. Adam Nor Azlin 89′), 16. Mauro Olivi (14. Abdul Hadi Yahaya 78′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

SARAWAK: 21. Iqbal Suhaimi, 12. Ramesh Lai, 4. David Grassi, 17. Hairol Mokhtar, 3. Riduwan Maon (6. K Thanaraj 69′), 18. Syahrul Azwari Ibrahim (7. J Partiban 63′), 2. Ronny Harun (C) (20. Shreen Tambi 21′), 15. K Gurusamy, 9. Ndumba Makeche, 19. Junior Aparecido, 30. Gilmar Da Silva.

Pengadil: Zamzaidi Katimin