Liga Super: Selangor 4 Melaka 1

Selangor terus kekal bergelar pendahulu Liga Super 2018 selepas berjaya meraih kemenangan kedua berturut dengan menewaskan Melaka 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Terdahulu juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya sempat 24 jam menghuni seketika tangga teratas menerusi kemenangan 3-0 ke atas PKNP FC di Larkin.

Namun dua gol menerusi Rufino Segovia dan Syahmi Safari pada aksi di gelanggang sendiri yang dihadiri hampir 8,000 penyokong malam tadi memastikan skuad Red Giants kendalian P Maniam kembali merampas kedudukan pendahulu itu menerusi kelebihan perbezaan gol.

Selangor dan JDT muncul dua pasukan yang berjaya mengumpul enam mata maksimum selepas dua perlawanan diikuti Perak dan PKNS FC yang berkongsi empat mata selepas dua pasukan berkenaan meraih kemenangan sulung ke atas Kedah dan Pahang, malam tadi.

Seawal minit kelapan, Selangor sudah di hadapan menerusi penyudah kemas Rufino selepas hantaran jauh daripada ketua pasukan, Razman Roslan gagal dipintas pertahanan import Melaka, Steven Thicot.

Melaka kendalian Eduardo Almeida bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas sepakan percuma penyerang import, Tiago Gomes yang melencong ke penjuru gawang gagal diselematkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor kemudian dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-44 selepas Amri Yahyah dijatuhkan Jeon Woo-young, namun sepakan penalti leret ke sebelah kiri diambil Rufino berjaya diselamatkan penjaga gol Melaka, Zamir Selamat untuk menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk memperoleh gol kedua selepas Zamir melakukan kesilapan apabila sepakannya ketika cuba mengeluarkan bola terkena badan Syahmi, seterusnya mudah buat pemain B-23 kebangsaan itu menolak bola masuk ke gawang terbuka pada minit ke-54.

Selangor terus garang menambah gol keempat pada minit ke-67 selepas hantaran K Kannan dari sebelah kiri gagal dikeluarkan dengan baik pertahanan Melaka, Syawal Norsam, lantas Rufino terus melepaskan sepakan deras kaki kiri menewaskan Zamir untuk gol kedua peribadi penyerang import dari Sepanyol itu.

Cubaan Melaka untuk merapatkan jurang gol terus digagalkan kecemerlangan Norazlan yang menyelamatkan dua percubaan berbahaya masing-masing menerusi Yahor Zubovich dan R Gopinathan pada minit ke-74 dan 89.

Sebaliknya Selangor berjaya menambah gol keempat pada minit ke-90 menerusi penyudah tepat Syahmi untuk gol kedua peribadinya selepas menerima lorongan Evan Dimas menerusi satu serangan balas untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan bergaya 4-1.

Selangor selepas ini akan bertemu Terengganu FC kendalian Irfan Bakti Abu Salim di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu ini, 10 Februari 2018.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 23. Willian Pacheco, 26. Fairuz Abdul Aziz (27. M Tamil Maran 70′); 30. D Kugan, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 6. Evan Dimas, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari, 10. Rufino Segovia (11. Faizzudin Abidin 87′), 17. Amri Yahyah (8. Saiful Ridzuwan Selamat 82′).

MELAKA: 11. Zamir Selamat; 27. G Puaneswaran, 18. Syawal Norsam (9. Nurshamil Abd Ghani 70′), 15. Steven Thicot, 26. Khair Jefri Jones; 7. R Surendran (C) (24. R Gopinathan 58′), 16. Shahdan Sulaiman, 8. Jeon Woo-young, 13. Ahmad Fakri Saarani (25. Farderin Kadir 78′); 17. Yahor Zubovich, 10. Tiago Gomes.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed