Liga Super: Selangor 4 LionsXII 0

Selangor berjaya mengekalkan kedudukan di tangga teratas Liga Super untuk minggu kedua berturut-turut selepas mudah membelasah wakil Singapura, LionsXII 4-0 pada perlawanan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Hatrik penyerang tinggi lampai, Afiq Azmi pada separuh masa pertama dan ledakan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula pada babak kedua memberikan Selangor kemenangan kelima berturut-turut.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu kini mengumpul 17 mata hasil lima menang, dua seri dan sekali tewas, sama mata dengan Felda United kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang kekal di tangga kedua selepas menewaskan Terengganu 3-1 tetapi dibezakan jaringan.

Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga ketiga berkongsi 15 mata dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Terengganu jatuh ke tangga kelima dengan 14 mata.

Di Shah Alam, Selangor hanya memerlukan 15 minit awal permainan untuk selesa mendahului LionsXII kendalian Fandi Ahmad dengan kelebihan tiga gol.

Gol pertama hadir seawal minit keenam apabila sepakan percuma Andik Vermansah dari sebelah kiri ditanduk ke depan pintu gol oleh Afiq untuk disambut pula dengan tandukan pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite.

De Paula cuba melakukan sepakan gunting tetapi tidak mengenai bola dan peluang terhidang di depan pintu gol itu disudahkan Afiq menerusi satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol LionsXII, Izwan Mahbud.

Gol kedua diperoleh Selangor pada minit ke-11, kali ini hantaran ke belakang pertahanan LionsXII sempat disambar Afiq dan kemudian Zulfahmi Arifin berjaya mengawal bola, namun dirampas semula Afiq yang pantas merembat menewaskan Izwan di gawang.

Afiq melengkapkan hatriknya pada minit ke-15 apabila pantas menolak masuk bola lorongan De Paula dari sebelah kiri untuk Selangor mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

LionsXII cuba merapatkan kedudukan pada babak kedua, namun peluang terbaik menerusi penyerang gantian, Sahil Suhaimi tidak berhasil selepas sepakan lencongnya dari luar kotak penalti pada minit ke-64 berjaya ditepis baik penjaga gol Selangor, Syamim Othman.

Sebaliknya Selangor terus selesa memperoleh gol keempat pada minit ke-78 apabila De Paula melepaskan sepakan kemas menewaskan Izwan selepas dia dan Andik merampas bola daripada kawalan pemain pertahanan LionsXII, Madhu Mohana.

Selangor selepas ini akan bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini (25 April) disusuli aksi tempat sendiri bertemu Perak di Stadium Shah Alam pada 2 Mei ini.

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 17. Rizal Fahmi Rosid (c), 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim ’72), 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’81), 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’84), 13. Guilherme De Paula.

LIONS XII: 1. Izwan Mahbud (c), 11. Nazrul Nazari, 6. Madhu Mohana, 23. Zulfahmi Arifin, 8. Hafiz Sujad, 7. Gabriel Quak (22. Christopher van Huizen ’79), 13. Izzdin Shafiq, 16. Raihan Rahman (25. Sufian Anuar ’28), 17. Faris Ramli, 24. Firdaus Kasman, 19. Khairul Amri (32. Sahil Suhaimi ’59).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin