Liga Super: Selangor 4 Kelantan 0

Selangor kembali meraih kemenangan selepas empat perlawanan apabila berjaya menewaskan pasukan di zon penyingkiran, Kelantan 4-0 pada perlawanan ke-13 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Ledakan hatrik penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia serta satu lagi jaringan menerusi pemain import dari Indonesia, Evan Dimas memastikan skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu berjaya meraih kemenangan keempat musim ini.

Keputusan itu turut menyaksikan Selangor berjaya naik satu anak tangga ke kedudukan kelapan selepas mengumpul 14 mata menerusi empat kemenangan, dua seri dan enam tewas (Selangor kurang satu perlawanan kerana perlawanan bertemu PKNP FC ditangguhkan).

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan kembali menurunkan pertahanan import, Willian Pacheco yang digantung perlawanan ketika mereka tewas 2-1 kepada Kedah minggu lalu serta kapten, Amri Yahyah dan Syahmi Safari.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-31 apabila tolakan Ilham Udin Armayin dari sebelah kiri berjaya disudahkan dengan baik oleh Rufino yang memperdaya beberapa pertahanan Kelantan sebelum melepaskan rembatan deras kaki kiri menewaskan penjaga gol pelawat, Fikri Che Soh.

Selangor terus selesa apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-36, juga menerusi penyudah kaki kiri Rufino yang berjaya mengatasi pertahanan kiri Kelantan, Shahrul Nizam Ros Hasni selepas menerima hantaran daripada Amri.

Hanya dua minit berselang, Selangor menambah gol ketiga menerusi satu serangan balas dimulakan Rufino dan hantaran Amri dari sebelah kanan berjaya disudahkan dengan tenang oleh Evan untuk separuh masa pertama berakhir dengan tuan rumah mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, Selangor mula memperlahankan rentak permainan dan ia telah memberi ruang buat Kelantan kendalian Fajer Ebrahim untuk lebih mengasak ke kubu pertahanan tuan rumah, namun tidak begitu menggugat keampuhan Khairulazhan Khalid di gawang Selangor.

Akhirnya pada minit ke-82, Rufino berjaya melengkapkan hatrik selepas menyudahkan hantaran Pacheco dari tengah padang untuk gol keempat Selangor, sekali gus menamatkan permainan dengan kemenangan bergaya 4-0.

Selangor selepas ini akan meneruskan saingan Liga Super 2018 dengan dua aksi berturut bertemu PKNS FC iaitu di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu, 6 Jun dan di Stadium Shah Alam pada Ahad, 10 Jun.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 20. Syahmi Safari (11. Faizzudin Abidin 74′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 6. Evan Dimas; 17. Amri Yahyah (C) (30. D Kugan 85′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (7. Sean Eugene Selvaraj 65′).

KELANTAN: 35. Fikri Che Soh; 15. Khairul Asyraf Ramli, 12. Ahmad Haziq Ahmad Puad, 3. Alaeddine Bouslimi, 40. Shahrul Nizam Ros Hasni; 4. Cassio de Jesus, 33. Nik Akif Syahiran Nik Mat (39. Afiq Saluddin 63′); 38. Imran Samso (20. Haikal Nazri 52′), 32. Nik Azli Nik Alias (7. Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi 46′), 13. Azwan Aripin (C); 8. Shafiq Shaharudin.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab