Liga Super: Selangor 3 Sime Darby 2

Selangor mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super selepas berjaya menewaskan pasukan tercorot, Sime Darby FC 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Selangor kekal di tangga ketiga liga dengan 11 mata hasil tiga menang, dua seri dan sekali tewas – di belakang PDRM (12 mata) dan Perak (11 mata).

Skuad kendalian Mehmet Durakovic itu turun tanpa ketua pasukan, Shahrom Kalam yang masih dalam proses pemulihan kecederaan pangkal paha serta pemain tengah import dari Brazil, Leandro dos Santos yang digantung perlawanan.

Tugas kapten yang sepatutnya digalas Rizal Fahmi Rosid kali ini diberikan kepada Raimi Md Nor sebagai penghormatan sempena hari lahirnya yang ke-29, semalam.

Sepanjang separuh masa pertama, Selangor jelas mendominasi permainan tetapi empat percubaan terbaik dinafikan penjaga gol Sime Darby, Suffian Ab Rahman masing-masing menerusi Guilherme De Paula pada minit kesembilan dan ke-16 serta Afiq Azmi, minit ke-14 dan ke-20.

Sime Darby kendalian Ismail Zakaria hanya beroleh satu peluang terbaik menerusi serangan balas pada minit ke-36, namun tandukan Eddy Helmi Abd Manan hasil hantaran lintang Fahrul Razi Kamaruddin berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Syamim Othman.

Bersambung babak kedua, Selangor berjaya memperoleh dua gol pantas menerusi rembatan Andik Vermansah yang terbias kaki pertahanan lawan pada minit ke-54 dan ledakan kaki kiri menarik Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti, minit ke-59.

Namun Sime Darby merapatkan kedudukan 2-1 menerusi sepakan penalti Nemanja Vidakovic pada minit ke-69.

Selangor bagaimanapun kembali selesa di hadapan apabila pemain pertahanan import, Robert Cornthwaite berjaya menanduk masuk gol ketiga selepas sepakan percuma pada minit ke-78.

Pada masa kecederaan, Sime Darby berjaya menambah gol kedua menerusi Dilshod Sharofetdinov, namun sudah terlewat untuk menghalang tiga mata penuh menjadi milik Selangor.

Selepas ini, Selangor akan bertemu pasukan kedua tercorot liga, ATM di Paroi, Sabtu ini (11 April).

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 17. Rizal Fahmi Rosid, 15. Raimi Md Nor (c), 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’89), 25. K Gurusamy (23. S Veenod ’77), 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’77), 13. Guilherme De Paula.

SIME DARBY FC: 22. Suffian Ab Rahman, 18. Juzaili Samion (c), 37. Nur Areff Kamaruddin (13. Nazrul Kamaruzaman ’60), 21. K Prabakaran, 15. Yosri Dermaraju (31. Faiz Bandong ’78), 6. Tengku Qayyum Ubaidillah, 7. Fahrul Razi Kamaruddin, 9. Dilshod Sharofetdinov, 23. Eddy Helmi Manan (8. Halim Zainal ’60), 10. Marko Perovic, 20. Nemanja Vidakovic.

Pengadil: Suhaizi Shukri