Liga Super: Selangor 3 Kuala Lumpur 3

Selangor berjaya bangkit tiga kali daripada ketinggalan untuk mengikat Kuala Lumpur 3-3 pada perlawanan ke-19 Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi menerusi hatrik penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia.

Keputusan seri itu memastikan Selangor kendalian Nazliazmi Nasir tidak dipintas Kuala Lumpur bimbingan Fabio Magrao apabila kedua-dua pasukan mengumpul 21 mata tetapi Selangor di tangga kesembilan berdasarkan kelebihan perbezaan gol.

Pada aksi malam tadi, Selangor melakukan empat perubahan dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika tewas 2-1 kepada Kelantan, Rabu lalu dengan A Namathevan, Saiful Ridzuwan Selamat, Sean Eugene Selvaraj dan Ilham Udin Armaiyn menggantikan tempat Amirul Ashraf Ariffin, Abdul Halim Zainal, Azammuddin Akil dan Joseph Kalang Tie.

Kuala Lumpur bagaimanapun mengejutkan tuan rumah seawal minit kelima apabila berjaya memperoleh gol pertama selepas hantaran lintang Guilherme De Paula dari sebelah kanan disudahkan Zhafri Yahya yang tidak dikawal untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Selangor pantas mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-13 selepas Rufino melepaskan rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru gawang Kuala Lumpur tanpa mampu diselamatkan penjaga gol pelawat, Sharbinee Allawee Ramli.

Kuala Lumpur selepas itu di depan buat kali kedua pada minit ke-20, kali ini menerusi serangan balas pantas apabila hantaran ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin berjaya disudahkan oleh Hafiz Johar untuk pelawat mendahului 2-1.

Selangor sekali lagi berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-36 menerusi sepakan penalti Rufino selepas K Kannan dijatuhkan pemain pertahanan Kuala Lumpur, Hisyamudin Sha’ari.

Bersambung babak kedua, Kuala Lumpur tidak menunggu lama untuk kembali mendahului apabila Paulo Josue berjaya menyudahkan hantaran Indra Putra dari sebelah kiri untuk gol ketiga pada minit ke-47.

Selang lima minit kemudian, Selangor terpaksa membawa masuk penjaga gol gantian, Norazlan Razali selepas Khairulazhan mengalami kecederaan kaki ketika cuba menyelamatkan bola hantaran ke belakang pertahanan import, Alfonso De La Cruz Calero.

Selangor buat kali ketiga berjaya menyamakan kedudukan 3-3 selepas Rufino melakukan rembatan deras kaki kanan yang gagal diselamatkan Sharbinee pada minit ke-62 untuk hatrik ketiganya musim ini.

Seminit selepas itu, Kuala Lumpur terpaksa beraksi 10 pemain selepas Indra Putra dilayangkan kad merah kerana tindakannya menyiku Alfonso.

Namun kelebihan itu gagal dimanfaatkan Selangor untuk mendapatkan gol kemenangan pada tempoh baki perlawanan dan kedudukan 3-3 kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Rabu ini untuk perlawanan ke-20 dan bertandang pula ke Stadium Hang Jebat untuk berdepan Melaka pada Sabtu.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid (21. Norazlan Razali 52′); 2. A Namathevan, 13. Razman Roslan, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 6. Evan Dimas, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 17. Amri Yahyah (C); 7. Sean Eugene Selvaraj (20. Syahmi Safari 73′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

KUALA LUMPUR: 22. Sharbinee Allawee Ramli; 19. Firdaus Faudzi, 24. Hisyamudin Sha’ari (12. Bobirjon Akbarov 53′), 3. Saifulnizam Miswan, 6. Syazwan Andik Ishak; 20. Zhafri Yahya, 28. Paulo Josue, 17. Irfan Zakaria (11. Ashri Chuchu 67′); 27. Hafiz Johar, 10. Guilherme De Paula, 23. Indra Putra Mahayuddin (C).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin