Liga Super: Selangor 3 ATM 2

Selangor meneruskan rentak dua kemenangan berturut selepas berjaya menewaskan ATM 3-2 pada perlawanan ke-19 Liga Super 2015 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Mehmet Durakovic ini terus kekal di tangga ketiga liga dengan 32 mata, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.

Selangor menguasai babak awal permainan menyaksikan percubaan Afiq Azmi pada minit ke-12 sedikit tersasar manakala sepakan lencong Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-16 berjaya ditangkap kemas penjaga gol ATM, Hafizuddin Azhuar.

ATM terpaksa membuat pertukaran awal selepas ketua pasukannya, Hairuddin Omar mengalami kecederaan dan digantikan dengan pemain import, Mario Karlovic pada minit ke-25.

Amaran awal diberikan Karlovic apabila melakukan sepakan gunting di depan pintu gol pada minit ke-27 yang mujur berjaya ditepis dengan baik penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Gol pertama Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti Guilherme De Paula selepas Ahmad Hazwan dijatuhkan pertahanan ATM, Safwan Hashim.

Gawang Selangor hampir bocor pada minit ke-37 tetapi rembatan jauh Karlovic menggegar palang dan susulan percubaan daripada Riduwan Maon berjaya ditepis keluar Norazlan.

ATM bagaimanapun berjaya juga menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan 1-1 apabila memperoleh gol penyamaan pada masa kecederaan menerusi penyudah Abdulafees Abdulsalam ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol Selangor.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor tidak menunggu lama apabila berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-48 menerusi Ahmad Hazwan yang pantas menyudahkan bola lorongan De Paula dari sebelah kanan untuk tuan rumah kembali mendahului 2-1.

Selangor terus selesa apabila ketua pasukan, Shahrom Kalam menanduk kemas bola sepakan sudut Andik Vermansah untuk gol ketiga pada minit ke-55.

Norazlan terus cemerlang menafikan beberapa lagi percubaan berbahaya ATM selepas itu terutama rembatan Abdulafees pada minit ke-72 dan minit ke-86.

Namun ATM berjaya menambah jaringan kedua pada penghujung masa kecederaan menerusi rembatan pemain gantian, Shukur Jusoh untuk keputusan muktamad Selangor menang 3-2.

Seterusnya untuk perlawanan ke-20, Selangor akan bertemu Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura, Sabtu ini.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 5. Shahrom Kalam (c), 17. Rizal Fahmi Rosid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor (23. S Veenod 64′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (25. K Gurusamy 84′), 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahaya 69′), 13. Guilherme De Paula.

ATM: 30. Hafizuddin Azuhar, 2. K Reuben, 3. Nor Fazly Alias, 4. Obinna Nwaneri, 33. Safwan Hashim, 16. Fazrul Hazli (6. Shukur Jusoh 67′), 12. Riduwan Maon, 13. Azreen Zulkapli, 18. Venice Elphi Dannykaya (17. Jerry Palacios 81′), 20. Hairuddin Omar (c) (23. Mario Karlovic 25′), 10. Abdulafees Abdulsalam.

Pengadil: S Sittharajanan