Liga Super: Selangor 2 Terengganu FC 0

Selangor berjaya menewaskan Terengganu FC 2-0 pada perlawanan terakhir LIga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi untuk menamatkan saingan liga musim ini di tangga kelapan.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir hanya melakukan satu pertukaran berbanding kesebelasan yang menewaskan PKNP FC 2-0 di Ipoh, Khamis lalu dengan Shahrul Igwan Samsudin menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat.

Terengganu terlebih dahulu menguji gawang Selangor pada minit ke-12 tetapi hantaran lintang Kamal Azizi Zabri dari sebelah kanan yang ditanduk J Partiban berjaya diselamatkan penjaga gol muda Selangor, Haziq Ridwan.

Selangor kemudian kembali mengasak dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-23, namun percubaan penyerang import, Rufino Segovia diselamatkan Suffian Rahman dan sepakan susulannya turut berjaya dihadang kemas penjaga gol Terengganu itu.

Pada minit ke-40, Rufino yang menerima lorongan bola Evan Dimas dari tengah sekali lagi kecewa apabila percubaannya berjaya ditepis keluar oleh Suffian.

Bersambung separuh masa kedua, Terengganu sekali lagi garang di awal babak permainan apabila percubaan ketua pasukan, Kipre Tchetche di depan pintu gol Selangor hasil hantaran Adib Aizuddin dari sebelah kiri pada minit ke-52 menggegar tiang.

Selangor pula terlepas dua peluang berturut selang dua minit apabila Rufino sedikit lambat untuk menguis masuk bola lorongan Sean Eugene Selvaraj pada minit ke-54 sebelum Sean sendiri menyaksikan percubaannya selepas sepakan sudut dikeluarkan pertahanan Terengganu di atas garisan gol pada minit ke-56.

Pada minit ke-63, Sean sekali lagi kecewa apabila tandukannya selepas sepakan sudut sekadar menggegar palang gol Terengganu.

Kebuntuan Selangor akhirnya terlerai pada minit ke-72 apabila Syahmi Safari berjaya melepaskan rembatan cantik kaki kiri dari luar kotak penalti selepas menerima hantaran Evan untuk gol pertama Selangor.

Terengganu kemudian hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-88, namun percubaan Partiban berjaya diselamatkan oleh Haziq.

Sisa perjuangan Terengganu berakhir pada minit ke-90 apabila Rufino dengan tenang melakukan penyudah untuk gol kedua Selangor dan gol ke-19 peribadinya untuk muncul penjaring terbanyak Liga Super 2018.

Selepas berakhir 22 perlawanan, Selangor mengumpul 27 mata menerusi tujuh kemenangan, enam seri dan sembilan kekalahan untuk menamatkan saingan Liga Super 2018 di atas PKNP FC, Kuala Lumpur, Kelantan dan Negeri Sembilan.

SELANGOR: 22. Haziq Ridwan; 2. A Namathevan, 15. Ashmawi Yakin, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 24. Syukri Azman; 7. Sean Eugene Selvaraj, 20. Syahmi Safari, 6. Evan Dimas, 28. Shahrul igwan Samsudin; 10. Rufino Segovia (C), 18. Ilham Udin Armaiyn.

TERENGGANU FC: 29. Suffian Rahman; 4. Kamal Azizi Zabri, 24. Igor Zonjic, 17. Nasrullah Haniff Johan, 22. Adib Aizuddin Ab Latif; 13. Abdul Latiff Suhaimi; 12. Shahrul Aizad Zulkifli, 15. Faiz Nasir, 19. Do Dong-Hyun, 16. J Partiban; 23. Kipre Tchetche (C).

Pengadil: Suhaizi Shukri