Liga Super: Selangor 2 T-Team 1

Selangor berjaya merampas kembali kedudukan tangga ketiga Liga Super 2016 selepas menewaskan T-Team 2-1 pada perlawanan kesepuluh di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Tuah nyata memihak skuad kendalian Zainal Abidin Hassan pada penampilan sulung di stadium keramat mereka itu untuk 2016 apabila jaringan kemenangan pemain gantian, Adam Nor Azlin, 20, pada masa kecederaan memberikan tiga mata penting buat skuad Red Giants.

T-Team kendalian jurulatih dari Indonesia, Rahmad Darmawan di hadapan pada minit ke-54 menerusi jaringan penyerang import dari Brazil, Patrick Cruz sebelum pemain import Selangor dari Argentina, Mauro Olivi menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Terdahulu pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor yang digantung perlawanan, begitu juga T-Team tanpa Safawi Rasid.

T-Team memberi amaran seawal minit kelapan, mujur percubaan Ahmad Takhiyuddin Roslan dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol selepas sepakan penjuru berjaya dihadang penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor kemudian mula mengasak dengan menyaksikan sepakan kaki kiri Ahmad Hazwan Bakri dari luar kotak penalti pada minit ke-12 sedikit sipi manakala rembatan kemas Andik Vermansah seminit kemudian berjaya ditepis keluar penjaga gol T-Team, Ilham Amirullah Razali.

Peluang terbaik Selangor pada babak pertama hadir pada minit ke-26, namun hantaran lintang Ahmad Hazwan dari sebelah kiri sekadar disepak tinggi Patrick Ronaldinho Wleh di depan pintu gol T-Team.

Bersambung babak kedua, Zainal terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke-53 selepas Hafiz Kamal mengalami kecederaan akibat perlanggaran dengan pemain import T-Team, Makan Konate untuk S Veenod dibawa masuk.

T-Team kemudian beroleh gol pertama pada minit ke-54 apabila sepakan lambung jauh Abdoulaye Maïga telah ditanduk ke belakang oleh pertahanan import Selangor, Robert Cornthwaite lalu pantas disambar Cruz untuk melepasi Norazlan sebelum menolak masuk bola ke gawang terbuka.

Namun Selangor hanya memerlukan seminit untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan leret Olivi dari luar kotak penalti selepas gerakan solonya dari tengah padang gagal dibaca penjaga gol T-Team untuk bola terus menuju ke penjuru kiri gawang lawan.

Pada minit ke-66, T-Team nyaris di hadapan tetapi mujur sepakan kencang pemain pertahanan kanan, Kamal Azizi Zabri dari sebelah kanan berjaya diselamatkan Norazlan menerusi layangan badan yang cukup baik.

Sepuluh minit terakhir, Selangor berterusan mengasak ke kubu T-Team untuk memburu gol, namun tandukan Cornthwaite selepas sepakan percuma Olivi pada minit ke-81 berjaya ditangkap kemas Ilham manakala tandukan Ronaldinho selepas hantaran lintang Raimi Md Nor dari sebelah kiri pada minit ke-89 berjaya ditepis keluar penjaga gol T-Team itu.

Menuju tambahan masa empat minit untuk separuh masa kedua, Zainal melakukan pertukaran terakhir dengan membawa masuk Adam Nor menggantikan Andik.

Hasilnya, Adam Nor membalas kepercayaan Zainal dengan menjaringkan gol kemenangan Selangor apabila sepakan kaki kanannya dari jarak 35 meter selepas menerima bola lontaran masuk oleh Raimi berjaya mengelirukan pertahanan dan penjaga gol T-Team lalu bola terus menerjah jaring.

Kedudukan semasa Liga Super selepas 10 perlawanan, Felda United di tangga teratas dengan 24 mata diikuti Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 21 mata, Selangor 18 mata, T-Team 15 mata dan PDRM 13 mata. Namun JDT kurang satu perlawanan.

Selangor selepas ini akan beraksi menentang Pilihan Singapura untuk perlawanan tahunan Piala Sultan Selangor 2016 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini sebelum menghadapi perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFC 2016 bertemu Tampines Rovers di Stadium Nasional, Singapura pada 10 Mei.

Bagi saingan Liga Super, aksi berikutnya Selangor akan menanti kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 18 Mei untuk perlawanan terakhir bagi pusingan pertama liga.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 2. Robert Cornthwaite, 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (9. Adam Nor Azlin 90+1′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 21. Hafiz Kamal (23. S Veenod 53′), 11. Ahmad Hazwan Bakri (25. R Gopinathan 75′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

T-TEAM: 23. Ilham Amirullah Razali, 4. Kamal Azizi Zabri, 3. Abdoulaye Maïga, 5. Hasbullah Awang (C), 34. Arif Fadzilah Abu Bakar, 15. Ahmad Takhiyuddin Roslan (16. Syuhiran Zainal 88′), 13. Asrol Ibrahim (20. Shamsul Kamal Mohamad 84′), 30. Dilshod Sharofetdinov (8. Badrul Hisyam Morris 64′), 26. Zulhanizam Shafine, 10. Makan Konate, 11. Patrick Cruz.

Pengadil: Khairul Azuan Kidam