Liga Super: Selangor 2 Sarawak 0

Selangor melonjak ke tangga ketiga Liga Super selepas berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Sarawak 2-0 pada perlawanan kelima Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Jaringan Afiq Azmi dan Fittri Shazwan Raduwan pada setiap babak sudah cukup memberikan tiga mata penuh pertama Selangor di gelanggang sendiri musim ini selepas mereka membenam PDRM 4-1 di gelanggang sama minggu lalu tetapi sebagai pasukan pelawat.

Seawal minit keempat, jurulatih Sarawak, Robert Alberts terpaksa mengeluarkan pemain pertahanan importnya, Ronald Hikspoors yang mengalami kecederaan lutut ketika cuba menghalang kemaraan Andik Vermansah, lantas membawa masuk A Varathan.

Gol pertama Selangor hadir pada minit ke-10 selepas sepakan sudut Hazwan Bakri ditanduk ke tengah oleh Robert Cornthwaite untuk Afiq mudah menanduk masuk bola di depan pintu gol Sarawak menewaskan penjaga golnya, Fadzley Rahim.

Sarawak yang cuba bangkit berjaya menggegar gawang Selangor dikawal Syamim Othman pada minit ke-21, namun gol itu dibatalkan pengadil kerana penyerang import Sarawak, Ryan Griffiths terlebih dahulu mengasari bek kanan Selangor, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sebelum menanduk bola masuk.

Pada masa kecederaan babak pertama, jurulatih Selangor, Mehmet Durakovic terpaksa menggantikan Andik yang cedera hamstring dan memasukkan Fittri Shazwan.

Separuh masa kedua bersambung, Selangor berjaya menggegar jaring gol Sarawak pada minit ke-53, namun gol berkenaan tidak disahkan pengadil kerana Hazwan didakwa sudah berkedudukan ofsaid.

Hazwan sekali lagi hampa apabila sepakan percumanya pada minit ke-70 sekadar menggegar tiang dan susulan daripada lantunan itu, percubaan Guilherme De Paula sempat dikeluarkan pemain pertahanan Sarawak, Hairol Mokhtar di depan pintu gol.

Tiga minit berselang, giliran De Paula pula kecewa apabila rembatannya sempat dikeluarkan Fadzley menggunakan kakinya.

Akhirnya gol kedua Selangor terhasil pada minit ke-77 apabila lorongan cantik Hazwan berjaya disambar Fittri Shazwan yang melepasi Varathan sebelum dia menolak masuk ke gawang terbuka selepas melepasi terjahan Fadzley.

Usaha Sarawak untuk sekurang-kurangnya mendapat gol saguhati tidak kesampaian apabila tandukan pemain gantian, Ashri Chuchu pada minit ke-90 sekadar menggegar palang gol Selangor untuk melegakan Syamim.

Selepas lima perlawanan, Selangor kini di tangga ketiga dengan lapan mata, sama diraih Perak, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu tetapi dipisahkan perbezaan gol, manakala Felda United kekal di tangga teratas dengan 11 mata diikuti PDRM di tangga kedua dengan sembilan mata.

Untuk perlawanan keenam Liga Super selepas ini, Selangor akan bertemu Sime Darby di Stadium Shah Alam, 4 April ini, namun Selangor terlebih dahulu akan melayan kunjungan Terengganu pada aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

SELANGOR: 1. Syamim Othman, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 17. Rizal Fahmi Rosid (c), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (24. Fittri Shazwan Raduwan ’45), 10. Nazmi Faiz Mansor, 25. K Gurusamy (23. S Veenod ’90), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’85), 13. Guilherme De Paula.

SARAWAK: 1. Fadzley Rahim, 13. Dzulazlan Ibrahim, 17. Hairol Mokhtar, 29. Ronald Hikspoors (5. A Varathan ‘4), 12. Ramesh Lai Ban Huat, 8. Nazri Kamal (11. Ashri Chuchu ’57), 16. Shahrol Saperi, 20. Shreen Tambi, 19. Joseph Kalang Tie, 9. Billy Mehmet, 23. Ryan Griffiths.

Pengadil: Suhaizi Shukri