ABK17

Liga Super: Selangor 2 PKNS FC 1

Selangor meneruskan rentak kemenangan kedua berturut dalam saingan Liga Super 2018 apabila berjaya menewaskan PKNS FC 2-1 pada perlawanan ke-14 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selepas empat perlawanan tanpa nota kemenangan sebelum ini, Selangor kendalian Nazliazmi Nasir berjaya menamatkan kemarau tersebut dengan membelasah Kelantan 4-0 di stadium sama, Jumaat lalu.

Rentak kemenangan itu diteruskan ke atas PKNS FC kendalian Datuk K Rajagobal untuk Selangor kini di tangga kelapan dengan 17 mata, hanya dua mata di belakang PKNS FC di tangga keenam tetapi Selangor masih kurang satu perlawanan.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi hanya membuat rombakan kecil dalam kesebelasan utamanya berbanding ketika bertemu Kelantan apabila Joseph Kalang Tie disenaraikan bagi mengisi tempat Syahmi Safari yang tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan buku lali.

Selangor hanya menunggu tujuh minit untuk memperoleh gol pertama apabila penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pantas menolak bola masuk ke gawang PKNS FC selepas percubaan awal Ilham Udin Armaiyn gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol pelawat, Shahril Saa’ri.

Namun PKNS FC memastikan babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat 1-1 apabila rembatan deras ketua pasukan, Safee Sali dari luar kotak penalti selepas menerima lorongan Bruno Matos gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid untuk gol penyamaan pada minit ke-43.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor terpaksa meneruskan aksi tanpa Rufino yang dikeluarkan Nazliazmi kerana mengalami sedikit kecederaan dan digantikan dengan Faizzudin Abidin.

Gol kemenangan Selangor hadir pada minit ke-60 menerusi satu serangan balas dimulakan Saiful Ridzuwan Selamat yang menolak bola ke kawasan bulatan tengah padang sebelum dilarikan secara solo oleh Evan Dimas yang seterusnya melepaskan sepakan leret di hadapan kotak penalti PKNS FC menewaskan Shahril.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat untuk memberikan kemenangan kelima Selangor musim ini.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNS FC sekali lagi untuk perlawanan ke-15 di gelanggang lawan iaitu Stadium Shah Alam pada Ahad ini, 10 Jun sebelum saingan liga direhatkan seketika bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 15 Jun dan selepas itu akan berdepan pula Perak di Cheras pada 19 Jun untuk perlawanan ke-16.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 6. Evan Dimas; 19. Joseph Kalang Tie (16. K Sarkunan 83′), 10. Rufino Segovia (11. Faizzudin Abidin 46′), 18. Ilham Udin Armaiyn.

PKNS FC: 25. Shahril Saa’ri; 2. K Reuben, 8. Zac Anderson, 17. Azmizi Azmi, 12. Qayyum Marjoni Sabil; 28. Mahalli Jasuli (14. Khyril Muhymeen Zambri 73′), 10. Safee Sali (C), 4. Daniel Ting (23. Alif Haikal Sabri 79′), 19. Bruno Matos, 5. Shahrul Azhar Ture (21. Romel Morales 55′); 29. Rafael Ramazotti.

Pengadil: Fitri Maskon