Liga Super: Selangor 2 PDRM 1

Selangor berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan PDRM 2-1 pada perlawanan ke-13 Liga Super 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi menerusi jaringan kemenangan lewat pemain pertahanan import baharu, Ugochukwu Ukah selepas Ahmad Hazwan Bakri memadam jaringan pendahuluan pelawat menerusi Guilherme de Paula.

Tiga mata penuh yang diraih itu menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan kekal di tangga ketiga Liga Super dengan 25 mata hasil tujuh menang, empat seri dan dua tewas, di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 33 mata selepas membelasah Kedah 5-0 di Larkin dan Felda United di tangga kedua dengan 31 mata selepas menewaskan Perak 2-1 di Jengka.

Terdahulu pada perlawanan ke-12 Liga Super pada 21 Mei lalu sebelum saingan berhenti rehat untuk bulan Ramadan, Selangor mencatat kemenangan besar menewaskan Kelantan 5-2 di Kota Bharu.

Apabila saingan kembali bersambung dengan perlawanan sulung Piala Malaysia yang berlangsung pada Selasa lalu, Selangor berjaya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Shah Alam untuk aksi Kumpulan B yang turut disertai Kelantan dan Pahang.

Bagi perlawanan malam tadi, Zainal Abidin mengekalkan kesebelasan sama ketika menewaskan Kuala Lumpur, Selasa lalu kecuali Bunyamin Umar yang turun mengisi posisi pertahanan kanan ditinggalkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang sudah pun berhijrah ke JDT pada pintu perpindahan kedua, Khamis lalu.

Amaran awal diberikan tuan rumah seawal minit ke-12 apabila percubaan penyerang import Selangor, Mauro Olivi berjaya menggegar tiang gol PDRM yang dikawal penjaga gol muda berusia 18 tahun, Haziq Nadzli.

Namun selepas itu Selangor pula sebaliknya dikejutkan dengan gol pendahuluan PDRM kendalian Fauzi Pilus pada minit ke-28 selepas hantaran Fakrul Aiman Sidid dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk De Paula, bekas penyerang import Selangor musim lalu untuk menewaskan Norazlan Razali.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor bangkit mengatur serangan dan hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38, namun percubaan cantik Patrick Ronaldinho Wleh di depan kotak penalti PDRM sekadar menggegar palang gol.

Pada minit ke-41, giliran Ahmad Hazwan mencuba tetapi rembatannya berjaya ditepis baki penjaga gol PDRM untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat.

Tidak sampai seminit selepas babak kedua bersambung, Ahmad Hazwan berjaya menggegar jaring gawang PDRM tetapi gol itu tidak dibenarkan pengadil, Zulkifli Ahmad selepas penjaga garisan mengesan pemain Selangor itu sudah pun berkedudukan ofsaid.

Gol penyamaan Selangor akhirnya menjelma pada minit ke-52, bermula percubaan Olivi yang berjaya ditepis Haziq, namun bola lantunannya menuju ke arah Ahmad Hazwan yang tidak melepaskan peluang melakukan sepakan voley kaki kiri untuk terus menerjah gawang gol PDRM.

Selangor selepas itu terus menggadakan usaha untuk mendapatkan gol kemenangan termasuk tandukan Ukah di depan pintu gol PDRM yang sedikit sipi ke kanan gawang meskipun Haziq kelihatan sudah pun tertewas pada minit ke-75.

Ketika permainan memasuki minit ke-90, Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol kemenangan selepas sepakan penjuru Nazmi Faiz Mansor berjaya ditolak masuk Ukah di depan pintu gol PDRM untuk keputusan muktamad 2-1 berpihak kepada tuan rumah.

Aksi berikutnya, Selangor akan menanti kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam untuk perlawanan kedua Kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia pada Rabu ini disusuli perlawanan ke-14 saingan Liga Super bertemu Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah (25. R Gopinathan 60′), 23. S Veenod (9. Adam Nor Azlin 83′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri, 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (21. Hafiz Kamal 70′).

PDRM: 32. Haziq Nadzli, 2. K Reuben, 3. Faizal Muhammad (C), 20. Souleymane Konate, 19. Amir Saiful Badeli (27. Eskandar Ismail 72′), 14. Christopher Keli (4. Ahmad Nizam Rodzi 82′), 10. Andrezinho, 11. Lot Abu Hassan (24. Hazsyafiq Hamzah 58′), 30. Fakrul Aiman Sidid, 21. Safuwan Baharudin, 29. Guilherme de Paula.

Pengadil: Zulkifli Ahmad