Liga Super: Selangor 2 Negeri Sembilan 1

Selangor berjaya meraih kemenangan ketiga musim ini selepas menewaskan pasukan tercorot, Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan ketujuh Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Jaringan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia dan penyerang muda, Sean Eugene Selvaraj pada setiap babak memastikan skuad Red Giants kendalian Nazliazmi Nasir itu akhirnya menamatkan deretan empat kekalahan berturut dalam saingan liga sebelum ini.

Pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa kelibat dua pemain import dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Udin Armaiyn yang bersama skuad B-23 Indonesia bagi perlawanan Piala Ulang Tahun PSSI di Jakarta serta kapten, Razman Roslan yang tiada dalam senarai 18 pemain.

Namun kembalinya Amri Yahyah, Willian Pacheco dan Abdul Halim Zainal yang tidak beraksi ketika suku akhir kedua Piala FA bertemu Kuala Lumpur minggu lalu akibat penggantungan selain kelibat Sean Eugene dan K Sarkunan yang tampil kali pertama dalam kesebelasan berjaya mengimbangi pasukan.

Kehadiran Amri, 37, yang memakai lilitan lengan selaku kapten bagi perlawanan ini nyata telah menghidupkan jentera tengah dan serangan Selangor.

Pada minit kelapan, Selangor hampir di hadapan namun tandukan Pacheco hasil sepakan percuma Amri dari sebelah kanan sekadar menggegar palang.

Negeri Sembilan kendalian Azraai Khor Abdullah cuba membalas tetapi percubaan Khairul Anwar Shahrudin dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-34 selepas hantaran lintang Amri dari sebelah kanan berjaya ditanduk masuk Rufino untuk menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Kaharuddin Rahman.

Bersambung babak kedua, Selangor tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua pada minit ke-56 apabila Sean Eugene menyudahkan peluang terbuka di depan pintu gol selepas pertahanan Negeri Sembilan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Namun, Negeri Sembilan kembali menghidupkan peluang selepas N Thanabalan yang baru tiga minit menggantikan Khairul Anwar berjaya mengatasi Pacheco untuk menanduk masuk bola hantaran Noor Hazrul Mustafa dari sebelah kanan bagi merapatkan kedudukan 2-1 pada minit ke-64.

Rentak Selangor sedikit terjejas selepas itu apabila Sean Eugene dan Amirul Ashraf Ariffin terpaksa digantikan masing-masing pada minit ke-68 dan 73 selepas mengalami kecederaan.

Negeri Sembilan bagaimanapun terus buntu untuk menembusi benteng pertahanan Selangor bagi mendapatkan gol penyamaan, sekali gus tiga mata penuh menjadi milik tuan rumah sebaik wisel penamat ditiup pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed.

Selepas tujuh perlawanan, Selangor kini mengumpul sembilan mata menerusi tiga kemenangan dan empat kekalahan untuk naik dua tangga ke kedudukan kelapan liga.

Selangor seterusnya akan berdepan pendahulu liga yang juga juara bertahan, Johor Darul Ta’zim di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin untuk perlawanan kelapan pada Selasa ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 2. A Namathevan, 23. Willian Pacheco, 5. Amirul Ashraf Ariffin (15. Ashmawi Yakin 73′), 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 4. Abdul Halim Zainal, 16. K Sarkunan; 30. D Kugan, 10. Rufino Segovia (8. Saiful Ridzuwan Selamat 86′), 7. Sean Eugene Selvaraj (28. Shahrul Igwan Samsudin 68′).

NEGERI SEMBILAN: 12. Kaharuddin Rahman; 13. Noor Hazrul Mustafa, 28. Renars Rode (6. Nasriq Baharom 78′), 5. Rizal Fahmi Rosid (C), 11. Aizulridzwan Razali; 17. Izuan Salahuddin, 29. Kim Do-heon, 20. Faizal Abu Bakar (14. Ferris Danial Mat Nasir 74′), 7. Flavio Beck Junior, 19. Khairul Anwar Shahrudin (25. N Thanabalan 61′); 10. Nicolas Velez.

Pengadil: Nagor Amir Noor Mohamed