Liga Super: Selangor 2 Johor Darul Ta’zim 2

Selangor berjaya menamatkan rentak kemenangan enam perlawanan berturut juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas seri 2-2 dengan pendahulu Liga Super 2018 itu pada perlawanan ke-10 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Dengan satu mata yang diraih itu, Selangor kendalian Nazliazmi Nasir berjaya naik satu lagi anak tangga ke kedudukan kelapan liga menerusi 11 mata hasil tiga menang, dua seri dan lima kalah.

Pada aksi malam tadi, tiga pertukaran dilakukan Nazliazmi berbanding kesebelasan ketika seri 1-1 dengan PKNP FC minggu lalu dengan Ilham Udin Armaiyn, Abdul Halim Zainal dan A Namathevan menggantikan tempat Sean Eugene Selvaraj, Amri Yahyah dan Amirul Haziq Rasmizal.

Pemain tengah, Saiful Ridzuwan Selamat diberi tanggungjawab selaku kapten memandangkan Amri dan Razman Roslan hanya diletakkan di bangku simpanan.

JDT kendalian Raul Longhi bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan seawal minit ketiga selepas hantaran S Kunanlan dari sebelah kanan berjaya disudahkan Gonzalo Cabrera yang memperdayakan Namathevan sebelum rembatannya menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Khairulazhan Khalid.

Namun keadaan berubah sama sekali selepas Selangor berjaya memperoleh dua gol pantas dalam tempoh dua minit.

Gol penyamaan Selangor terhasil pada minit ke-14 selepas hantaran Rufino Segovia ke bahagian tengah berjaya disudahkan dengan cemerlang oleh Saiful Ridzuwan yang melepaskan rembatan deras lambung dari luar kotak penalti memerangkap penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Dua minit kemudian, Selangor memperoleh gol pendahuluan apabila hantaran lambung jauh Abdul Halim tepat ke arah Rufino yang berjaya mengatasi pertahanan JDT, Fadhli Shas sebelum penyerang import dari Sepanyol itu melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti yang gagal diselamatkan Farizal.

JDT berusaha keras untuk memburu gol penyamaan, namun ketangkasan Khairulazhan berjaya menafikan percubaan berbahaya Cabrera dan penyerang import baharu JDT, Harry Novillo dalam kotak penalti untuk membawa kedudukan 2-1 sehingga wisel penamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, JDT dilihat lebih ghairah untuk memburu gol penyamaan dan hasilnya berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-68 selepas lambungan Cabrera dari sebelah kiri berjaya ditanduk kemas Novillo ke penjuru kiri gawang Selangor tanpa mampu diselamatkan Khairulazhan.

Bagi mengimbangi kekuatan JDT pada baki permainan selepas itu, Nazliazmi melakukan tiga pertukaran untuk memberikan tenaga baharu di atas padang dengan Azizul Baharuddin, K Sarkunan dan Amri masing-masing masuk menggantikan Joseph Kalang Tie, Abdul Halim dan Ilham Udin.

Kedua-dua pasukan gagal untuk mendapatkan gol kemenangan, sekali gus terpaksa berpuas hati untuk berkongsi satu mata.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNP FC di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 23 Mei depan untuk perlawanan ke-11 liga yang juga perlawanan pertama daripada lima perlawanan dilangsungkan sepanjang bulan Ramadan.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 2. A Namathevan, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 4. Abdul Halim Zainal (16. K Sarkunan 78′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (C), 6. Evan Dimas; 19. Joseph Kalang Tie (29. Azizul Baharuddin 70′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (17. Amri Yahyah 81′).

JDT: 1. Farizal Marlias; 12. S Kunanlan, 6. Marcos Antonio, 27. Fadhli Shas, 22. La’Vere Corbin-Ong; 14. Hariss Harun (C), 4. Afiq Fazail (9. Ahmad Hazwan Bakri 84′); 29. Safawi Rasid (21. Nazmi Faiz Mansor 61′), 10. Harry Novillo (20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham 90′), 11. Gonzalo Cabrera; 19. Jorge Santos Silva.

Pengadil: Suhaizi Shukri