Liga Super: Selangor 2 Johor Darul Ta’zim 1

Selangor menghadiahkan kekalahan kedua buat Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2017 selepas berjaya menewaskan pendahulu liga itu 2-1 pada perlawanan ke-19 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Tiga mata penuh yang berjaya diraih meletakkan skuad kendalian P Maniam itu kekal di tangga kelima dengan 30 mata, sama mata dengan pasukan tangga keempat, Felda United dan tangga keenam, Perak.

Namun Selangor masih berpeluang menamatkan musim di kedudukan lebih baik kerana hanya ketinggalan empat mata di belakang pasukan tangga kedua, Kedah dan tiga mata di belakang pasukan tangga ketiga, Pahang ketika saingan liga masih berbaki tiga perlawanan.

Biarpun tewas malam tadi, JDT kendalian Ulisses Morais berjaya juga mengesahkan kejuaraan Liga Super buat musim keempat berturut-turut selepas pencabar terdekat, Kedah tewas 2-1 kepada Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Di Selayang malam tadi, JDT turun dengan barisan terkuatnya sementara Selangor tidak dapat menyenaraikan penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia dan pemain sayap, Raimi Md Nor yang masih cedera manakala Andik Vermansah hanya bermula dari bangku simpanan.

Pada babak pertama, Selangor dilihat lebih banyak dapat menguji ke arah pintu gol JDT, namun percubaan Francis Forkey Doe pada minit ke-19 dan sepakan voley Amri Yahyah pada minit ke-27 sedikit tinggi melewati palang gol pelawat.

Pada minit ke-30, Selangor terlepas peluang untuk di hadapan selepas percubaan Forkey Doe menerusi satu serangan balas tidak cukup kuat dan berjaya diselamatkan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan.

Sebaliknya JDT yang jarang menguji akhirnya berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-39 menerusi sepakan kemas Natxo Insa dari luar kotak penalti yang menuju penjuru kanan gawang Selangor dan gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.

Bersambung babak kedua, Selangor terus tidak berputus asa memburu gol penyamaan dengan memberi amaran awal menerusi percubaan Amri pada minit ke-52 yang berjaya ditepis keluar Izham Tarmizi disusuli tandukan terbang Syahmi Safari di depan pintu gol JDT yang sedikit tinggi melewati palang.

Gol penyamaan Selangor menjelma juga pada minit ke-59 selepas Syahmi pantas membuat lontaran ke dalam untuk bola dilarikan Amri yang mengatasi pertahanan JDT sebelum melepaskan rembatan menewaskan Izham Tarmizi untuk kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT kembali mengasak dan beroleh peluang terbaik pada minit ke-65, namun rembatan deras Gonzalo Cabrera dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar Norazlan.

Maniam kemudian membawa masuk Andik menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat pada minit ke-71 dan enam minit berselang, pemain import dari Indonesia itu tenang menyudahkan hantaran jauh A Namathevan untuk gol kedua Selangor pada minit ke-77.

JDT kemudian kecewa lagi apabila tandukan Aidil Zafuan selepas sepakan sudut terkena palang dan susulan lantunan bola berkenaan dirembat kencang Insa, namun sekali lagi Norazlan cemerlang menepis kemas percubaan pada minit ke-79 itu.

Peluang terakhir JDT untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-90, namun Norazlan sekali lagi membuktikan ketangkasannya dengan menyelamatkan dua percubaan berturut iaitu sepakan percuma Safiq Rahim dan sepakan susulan Cabrera untuk memastikan kemenangan milik Selangor.

Saingan Liga Malaysia 2017 akan berehat selama lima minggu bagi memberi laluan kepada aksi skuad B-22 kebangsaan di Sukan SEA 2017 dan juga aksi skuad kebangsaan untuk tiga perlawanan persahabatan antarabangsa serta perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong.

Selepas bersambung nanti, Selangor sekali lagi akan berdepan JDT di Larkin untuk perlawanan terakhir Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017 pada 9 September disusuli aksi suku akhir pertama Piala Malaysia pada 15 atau 16 September sebelum berdepan PKNS FC untuk perlawanan ke-20 Liga Super di Selayang pada 20 September.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 9. Adam Nor Azlin; 2. A Namathevan, 23. S Veenod, 20. Syahmi Safari (27. Nurshamil Abd Ghani 90’+4), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (7. Andik Vermansah 71′), 3. K Kannan; 10. Francis Forkey Doe, 29. Amri Yahyah (4. Abdul Halim Zainal 90’+2).

JOHOR DARUL TA’ZIM: 24. Izham Tarmizi Roslan; 12. S Kunanlan, 7. Aidil Zafuan Abd Radzak (21. Nazmi Faiz Mansor 81′), 27. Fadhli Shas, 15. Fazly Mazlan; 8. Safiq Rahim (C), 4. Afiq Fazail (25. Junior Eldstal 56′), 50. Natxo Insa; 10. Gabriel Guerra, 22. Mohammed Ghaddar (9. Ahmad Hazwan Bakri 68′), 11. Gonzalo Cabrera.

Pengadil: Khirul Azuan Kidam