Liga Super: Selangor 1 Terengganu 1

Selangor gagal meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian jurulatih sementara, K Gunalan apabila sekadar seri 1-1 dengan pasukan kelompok bawahan, Terengganu pada perlawanan ke-18 saingan Liga Super 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas mencatat dua kemenangan berturut dalam saingan Piala Malaysia sejak Gunalan mengambil alih tugas daripada Zainal Abidin Hassan, kegagalan Selangor menamatkan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan Liga Super itu menyaksikan mereka kini turun satu kedudukan ke tangga keempat dipintas Kedah.

Berbaki hanya empat lagi perlawanan, JDT masih unggul di tangga teratas dengan 46 mata diikuti Felda United (42), Kedah (28), Selangor (27) dan Kelantan (24) untuk lima kedudukan teratas Liga Super.

Pada aksi malam tadi, Selangor ketinggalan menerusi jaringan Ashari Samsudin pada minit ke-64 sebelum kapten Red Giants, Andik Vermansah menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-83.

Terdahulu pada separuh masa pertama, Terengganu kendalian jurulatih sementara, Mustaffa Kamal Abd Wahab dan dibantu jurulatih berpengalaman, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor dilihat lebih menguasai permainan sehinggalah penyerang import mereka, Issey Nakajima-Farran terpaksa dikeluarkan pada minit ke-21 kerana mengalami kecederaan.

Selangor yang mengekalkan kesebelasan sama seperti ketika menewaskan Kelantan 4-1 di Kota Bharu, Jumaat lalu beroleh tiga peluang terbaik selepas itu.

Namun sepakan percuma Andik pada minit ke-25 sedikit sipi, percubaan Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-35 dihadang keluar pertahanan Terengganu manakala tandukan Patrick Ronaldinho Wleh selepas menyambut bola sepakan percuma Andik sedikit tersasar pada minit ke-40.

Bersambung babak kedua, Terengganu akhirnya berjaya memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-64 menerusi voley menarik Ashari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Bogdan Milic untuk menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Gunalan kemudian membawa tenaga baharu dengan memasukkan Adam Nor Azlin, Ahmad Hazwan Bakri dan Hafiz Kamal untuk akhirnya ia membuahkan hasil apabila Andik berjaya menanduk masuk gol penyamaaan Selangor pada minit ke-83 selepas menerima hantaran Adam Nor dari sebelah kiri.

Hafiz kemudian beroleh peluang terbuka di depan pintu gol Terengganu untuk menjaringkan gol kemenangan Selangor, namun percubaannya lemah, sekali gus menyaksikan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan melengkapkan perlawanan keenam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2016 bertemu Kuala Lumpur di Stadium Selayang, Sabtu ini disusuli perlawanan ke-19 Liga Super bertemu Sarawak di Kuching pada 24 Ogos.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 17. Rizal Fahmi Rosid, 18. Ugochukwu Ukah, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (21. Hafiz Kamal 81′), 23. S Veenod, 25. R Gopinathan (11. Ahmad Hazwan Bakri 75′), 14. Abdul Hadi Yahaya (9. Adam Nor Azlin 66′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

TERENGGANU: 17. Sharbinee Allawee Ramli, 12. Hafizal Mohamad (7. Zairo Anuar Zalani 73′), 5. Vincent Bikana, 13. Hasmizan Kamarodin (C), 31. Dhiyaulrahman Hasry, 19. Joseph Kalang Tie (10. Bogdan Milic 58′), 21. Affize Faisal Mamat, 30. Sharin Sapien, 26. Ashari Samsudin, 9. Norshahrul Idlan Talaha, 11. Issey Nakajima-Farran (14. Fakhrurazi Musa 21′).

Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab