Liga Super: Selangor 1 Pulau Pinang 0

Selangor kendalian Zainal Abidin Hassan kembali menemui sentuhan kemenangan selepas berjaya menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan kelapan Liga Super 2016 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Dua kekalahan dan satu seri pada tiga aksi terakhir Liga Super meletakkan Selangor semakin keciciran mata, namun tiga mata penuh hasil jaringan tunggal Mauro Olivi meletakkan Selangor kini di tangga ketiga dengan 14 mata, di belakang Felda United (21) dan Johor Darul Ta’zim (20).

Turun tanpa Hafiz Kamal yang menjalani penggantungan perlawanan, Zainal kembali mempertaruhkan Olivi yang sebelum ini direhatkan ekoran insiden pergadungan dengan Hafiz manakala Razman Roslan buat pertama kalinya diletakkan di posisi pertahanan kiri.

Hasilnya pada minit ke-17, sepakan percuma cantik diambil Olivi terus menerjah jaring tanpa mampu diselamatkan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani untuk meletakkan Selangor mendahului 1-0.

Pulau Pinang kendalian Manzoor Azwira Abdul Wahid berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-31, namun pemain pertahanan Selangor, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pantas memintas percubaan Rafiuddin Rodin di depan pintu gol.

Bersambung babak kedua, Pulau Pinang terus mencuba dan pada minit ke-63, rembatan kencang S Kumaahran dari luar kotak penalti berjaya pula ditepis baik penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Zainal kemudian membawa nafas baharu dengan memasukkan R Gopinanthan dan Adam Nor Azlin pada 15 minit terakhir perlawanan.

Peluang keemasan dipersiakan Adam Nor pada minit ke-80 menerusi satu serangan balas digerakkan Gopinathan dari sebelah kiri, kemudian hantaran cantik Andik sekadar disepak tinggi Adam Nor di depan pintu gol Pulau Pinang.

Seminit kemudian, Pulau Pinang pula mencuba tetapi kali ini penyudah kurang kemas Osas Saha sekadar sipi ke kanan gawang Selangor selepas dia berjaya mengatasi Khairulazhan.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat untuk tiga mata penuh diraih Selangor.

Selangor selepas ini akan bertemu PDRM pada perlawanan kesembilan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 2. Robert Cornthwaite, 13. Razman Roslan, 7. Andik Vermansah, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 84′), 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (25. R Gopinathan 74′), 16. Mauro Olivi (9. Adam Nor Azlin 76′), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

PULAU PINANG: 22. Sani Anuar Kamsani, 2. Mafry Balang, 4. Reinaldo Lobo, 16. Darwira Sazan, 3. Fitri Omar, 10. Osas Saha (17. Faizat Ghazli 81′), 26. S Kumaahran, 9. Fauzan Dzulkifli (18. Mazlizam Mohamad 83′), 20. Rafiuddin Rodin (27. Jafri Firdaus Chew 73′), 7. Matias Cordoba (C), 13. Faiz Subri.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob