Liga Super: Selangor 1 PKNS FC 2

Selangor kekal di tangga kelima Liga Super 2017 ketika saingan berbaki dua lagi perlawanan selepas tewas 2-1 kepada PKNS FC pada perlawanan ke-20 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Jurulatih Selangor, P Maniam merehatkan ketua pasukan, Razman Roslan dan beberapa tonggak utama lain menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2017 bertemu Kedah di Alor Setar, Ahad ini termasuk pertahanan import, Ugochukwu Ukah yang digantung perlawanan.

Biarpun Selangor tampak lebih berbahaya di awal permainan, PKNS FC di bawah bimbingan pengendali sementara, Adam Abdullah berjaya mendahului pada minit ke-25 selepas pemain sayap, Shahrul Azhar Ture melepaskan rembatan deras kaki kiri menewaskan Norazlan Razali.

Namun Selangor tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi rembatan deras penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke-34 untuk babak pertama berakhir dengan 1-1.

Tidak sampai seminit separuh masa kedua bersambung, menerusi satu serangan balas Selangor hampir berjaya memperoleh gol pendahuluan, namun rembatan Andik Vermansah selepas menerima hantaran kapten, Amri Yahyah dari sebelah kanan sedikit tersasar.

Pada minit ke-48, giliran PKNS FC mendapat peluang tetapi percubaan ketua pasukannya, Safee Sali selepas menerima hantaran cantik daripada K Gurusamy sedikit sipi ke kanan gawang Selangor.

Maniam kemudian melakukan dua pertukaran serentak dengan S Veenod dan Francis Forkey Doe masuk menggantikan Saiful Ridzuwan Selamat dan Bunyamin Umar pada minit ke-62.

Seminit kemudian, PKNS FC menguji gawang Selangor menerusi percubaan bahaya Fabio Ferreira tetapi sempat ditepis baik oleh Norazlan.

Namun kesilapan barisan pertahanan Selangor pada minit ke-64 menyaksikan Patrick Ronaldinho Wleh berjaya melepasi kawalan dalam kotak penalti dan melepaskan sepakan tepat menewaskan Norazlan untuk gol kedua PKNS FC.

Selangor selepas itu terus berusaha untuk memburu gol penyamaan termasuk tandukan Rufino selepas hantaran Raimi Md Nor yang sedikit tersasar dari pintu gol PKNS FC pada minit ke-81.

Selepas 20 perlawanan, Selangor di tangga kelima dengan 30 mata, sama mata dengan pasukan tangga keenam, Perak untuk berada di belakang juara kali keempat berturut-turut, Johor Darul Ta’zim dengan 48 mata diikuti Pahang 36 mata, Kedah 34 mata dan Felda United 33 mata.

PKNS FC pula di tangga ketujuh dengan 24 mata.

Baki dua perlawanan Liga Super buat Selangor adalah aksi di tempat lawan iaitu bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat pada Rabu depan, 27 September dan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan pada 28 Oktober depan.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 12. Bunyamin Umar (10. Francis Forkey Doe 62′), 9. Adam Nor Azlin, 26. Fairuz Abdul Aziz; 2. A Namathevan, 20. Syahmi Safari (27. Nurshamil Abd Ghani 89′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 62′), 29. Amri Yahyah (C), 15. Raimi Md Nor; 7. Andik Vermansah, 30. Rufino Segovia.

PKNS FC: 30. Tauffiq Ar Rasyid Johar; 7. P Rajesh, 27. Azmizi Azmi, 12. Abdou Jammeh, 15. P Gunalan; 21. Fabio Ferreira (14. Khyril Muhymeen Zambri 68′) (24. Nizam Abu Bakar 83′), 18. M Sivakumar, 29. K Gurusamy, 5. Shahrul Azhar Ture (23. Alif Haikal Sabri 77′); 10. Safee Sali (C), 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Zamzaidi Katimin