ABK17

Liga Super: Selangor 1 PKNP FC 1

Selangor terlepas peluang untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan PKNP FC pada perlawanan kesembilan Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Tatkala jaringan Rufino Segovia pada minit ke-53 dilihat sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan tipis buat skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu, ledakan Hafiz Ramdan pada detik terakhir permainan memastikan PKNP FC bimbingan Abu Bakar Fadzim pulang dengan satu mata.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan lima pertukaran dalam barisan kesebelasan utamanya berbanding ketika mereka tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, Rabu lalu termasuk menyenaraikan dua pemain import, Evan Dimas dan Alfonso De La Cruz Calero.

Kerancakan babak awal permainan terganggu apabila perlawanan terpaksa dihentikan pada minit keempat selepas lampu limpah terpadam tiba-tiba dan hanya selepas 12 minit kemudian aksi dapat disambung semula.

PKNP FC bagaimanapun dilihat lebih banyak melakukan percubaan ke arah pintu gol Selangor dikawal Khairulazhan Khalid, namun kebanyakannya sedikit tersasar dan salah satu yang berbahaya ialah tandukan ketua pasukan, Shahrel Fikri Md Fauzi hasil hantaran lintang Hafiz yang menggegar palang gol pada minit ke-20.

Bersambung babak kedua, Selangor dilihat berjaya meningkatkan tempo permainan dengan corak serangan lebih baik dan hasilnya gol pembukaan berjaya dijaringkan Rufino pada minit ke-53.

Berpunca daripada gerakan ketua pasukan, Amri Yahyah dari sebelah kiri, bola hantarannya tepat kepada Joseph Kalang Tie yang kemudiannya melakukan lorongan ke depan pintu gol PKNP FC untuk disudahkan Rufino yang menewaskan penjaga gol pelawat, Ahmad Asyraf Omar.

PKNP FC selepas itu hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-70 tetapi percubaan bahaya pemain gantian, Norhakim Isa dalam kotak penalti berjaya dinafikan kecemerlangan Khairulazhan yang melayangkan badannya untuk menepis keluar.

Namun asakan berterusan PKNP FC akhirnya berhasil pada penghujung tambahan masa empat minit diberikan pengadil apabila sepakan deras kaki kiri Hafiz dari luar kotak penalti berjaya mengelirukan barisan pertahanan Selangor dan juga Khairulazhan, seterusnya bola masuk ke penjuru gawang untuk mengikat kedudukan 1-1.

Dengan keputusan seri pertama yang diraih itu, Selangor sekadar naik satu anak tangga ke kedudukan kesembilan liga dengan mengumpul 10 mata selepas sembilan perlawanan hasil tiga menang, satu seri dan lima kalah.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pendahulu, JDT untuk perlawanan ke-10 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu ini, 12 Mei 2018.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 25. Amirul Haziq Rasmizal (2. A Namathevan 44′), 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 6. Evan Dimas; 19. Joseph Kalang Tie (16. K Sarkunan 82′), 10. Rufino Segovia, 7. Sean Eugene Selvaraj (11. Faizzudin Abidin 75′).

PKNP FC: 22. Ahmad Asyraf Omar; 5. Muhammad Mohd Safar, 16. Raffi Nagoorgani, 4. Ritus Krjauklis, 17. Ezanie Mat Salleh; 19. Shahrel Fikir Md Fauzi (C), 15. Lyuben Nikolov (21. Norhakim Isa 62′), 29. Fadhil Idris (7. Ridzuan Azly Hussham 77′), 25. Hafiz Ramdan; 6. Franklin Clovis Anzite, 9. Yeon Gi-sung (33. Alif Safwan Sallahuddin 65′).

Pengadil: Fitri Maskon