Liga Super: Selangor 1 Perak 2

Selangor mengalami kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas 2-1 kepada Perak pada perlawanan ke-10 Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Namun skuad kendalian Mehmet Durakovic itu masih kekal di tangga kedua liga, satu mata di belakang pendahulu, PDRM yang turut tewas 3-1 kepada ATM di Paroi.

Bagaimanapun Selangor kini terpaksa berkongsi 17 mata dengan Perak, FELDA United dan Pahang dengan ketiga-tiga pasukan itu masih kurang satu perlawanan berbanding Selangor.

FELDA United hanya akan turun beraksi perlawanan ke-10 mereka bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin, malam ini manakala Perak bertemu Pahang di Kuantan, Selasa ini.

Di Stadium Shah Alam malam tadi, Selangor yang mahu bangkit daripada kekalahan 2-1 kepada Kelantan di Kota Bharu minggu lalu berjaya mendahului menerusi tandukan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula selepas sepakan sudut Leandro Dos Santos pada minit ke-18.

Namun kesilapan Dos Santos menolak Nam Kung Woong pada masa kecederaan babak pertama membawa padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Perak yang disudahkan sendiri pemain import dari Korea Selatan itu untuk kedua-dua pasukan menuju bilik persalinan dengan kedudukan 1-1.

Perak bagaimanapun berjaya memperoleh gol kemenangan pada minit ke-61 menerusi sepakan percuma kaki kiri menarik Nurridzuan Abu Hassan yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Biarpun pasukan pelawat kendalian Datuk M Karathu itu terpaksa beraksi 10 pemain selepas Nurridzuan dilayangkan kad merah pada minit ke-85, barisan depan Selangor tetap gagal mendapatkan gol penyamaan sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Syed Azhar Syed Kamar.

Saingan Liga Super akan berehat selama tujuh minggu untuk memberi laluan kepada aksi separuh akhir dan final Piala FA, penyertaan skuad B-23 negara ke Sukan SEA 2015 di Singapura dan persiapan skuad kebangsaan untuk dua aksi sulung Kelayakan Piala Dunia 2018.

Apabila saingan Liga Super bersambung semula pada bulan Ramadan nanti, Selangor akan bertemu FELDA United untuk perlawanan ke-11 di Stadium Selayang pada 20 Jun dan bertemu lawan sama untuk perlawanan pertama pusingan kedua liga di Stadium Shah Alam pada 23 Jun dengan sepak mula kedua-dua perlawanan jam 9.45 malam.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 5. Shahrom Kalam (c), 2. Robert Cornthwaite, 3. Azmi Muslim (9. A Thamil Arasu ’87), 7. Andik Vermansah, 8. Leandro dos Santos, 10. Nazmi Faiz Mansor, 11. Ahmad Hazwan Bakri (15. Raimi Md Nor ’86), 19. Afiq Azmi (14. Abdul Hadi Yahya ’75), 13. Guilherme De Paula.

PERAK: 18. Zamir Selamat, 17. Tuah Iskandar Jamaluddin, 15. Idris Ahmad, 26. Thiago Junio, 24. Hisyamudin Shaari, 41. Horace James, 4. Nasir Basharuddin (c), 34. Raffi Nagorgani, 16. Nurridzuan Abu Hassan, 19. Nam Kung Woong, 10. Charles Souza Chad.

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar