Liga Super: Selangor 1 Perak 1

Selangor bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat pasukan tangga kedua, Perak 1-1 pada perlawanan ke-16 Liga Super 2018 yang berlangsung pada hari raya kelima di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Ia keputusan seri kedua berturut diraih skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu selepas mereka diikat PKNS FC 2-2 pada perlawanan terdahulu di Stadium Shah Alam, 10 Jun lalu.

Pada aksi malam tadi, Nazliazmi melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan menyenaraikan Saiful Ridzuwan Selamat, Shahrul Igwan Samsudin dan D Kugan bagi menggantikan Abdul Halim Zainal, Faizzudin Abidin dan Ilham Udin Armaiyn.

Namun Perak kendalian Mehmet Durakovic berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama selepas hantaran lintang dilakukan pemain sayap kiri Perak, Nor Hakim Hassan telah tertolak masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan import Selangor, Alfonso De La Cruz Calero pada minit ke-42.

Bagi menajamkan jentera depan pada babak kedua, Nazliazmi telah melakukan pertukaran awal pada minit ke-58 dengan membawa masuk Syahmi Safari menggantikan pemain tengah import dari Indonesia, Evan Dimas.

Hasilnya, Selangor dilihat lebih banyak berjaya melakukan beberapa percubaan termasuk menerusi ketua pasukan, Amri Yahyah, Syahmi sendiri serta penyerang utama, Rufino Segovia tetapi masih belum menemui sasaran.

Selangor akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-81 selepas sepakan percuma Amri dari sebelah kiri berjaya mengelirukan penjaga gol Perak, Khairul Amri Salehuddin untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Dengan keputusan seri itu, Perak kekal di tangga kedua di belakang JDT dengan 28 mata sementara Selangor di tangga kesembilan dengan 19 mata menerusi lima kemenangan, empat seri dan enam kali tewas.

Perlawanan ke-17 Liga Super 2018 akan berlangsung pada Selasa depan (26 Jun) dengan Selangor akan bertemu pasukan tangga ketiga, Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Namun Selangor terlebih dahulu bakal menanti kunjungan PKNS FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu ini bagi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2018.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 17. Amri Yahyah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 6. Evan Dimas (20. Syahmi Safari 58′); 30. D Kugan, 10. Rufino Segovia, 28. Shahrul Igwan Samsudin (4. Abdul Halim Zainal 73′).

PERAK: 18. Khairul Amri Salehuddin; 23. Amirul Azhan Aznan, 5. Jad Noureddine, 3. Shahrul Saad (C), 21. Nazirul Naim Che Hashim; 7. Ahmad Khairil Anuar Zamri (25. Rafiuddin Roddin 63′), 12. Kenny Pallraj, 11. Brendan Gan, 19. Nor Hakim Hassan (17. Rizal Che Aziz 90′); 10. Wander Luiz, 30. Nizad Ayub (13. Khairul Asyraf Sahizah 85′).

Pengadil: Nazmi Nasaruddin