ABK17

Liga Super: Selangor 1 Pahang 3

Selangor mengalami kekalahan kedua berturut musim ini selepas tewas 3-1 kepada Pahang pada perlawanan keempat Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selepas bermula cemerlang untuk menghuni tangga teratas liga menerusi dua kemenangan berturut menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dan Melaka 4-1, skuad kendalian P Maniam itu tewas 4-1 kepada Terengganu FC di tempat lawan pada perlawanan ketiga, 10 Februari lalu.

Pada aksi yang dihadiri kira-kira15,000 penonton malam tadi , Selangor telah ketinggalan seawal minit ketujuh selepas penyerang import baharu Pahang, Patrick Cruz pantas menolak masuk bola hantaran Mohamadou Sumareh dari sebelah kanan.

Selangor bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Rufino Segovia pada minit ke-38 selepas pemain sayap kiri, K Kannan dijatuhkan oleh pertahanan Pahang, Muslim Ahmad.

Terikat 1-1 pada separuh masa pertama, Pahang kendalian Dollah Salleh berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-49 selepas Francis Forkey Doe mudah melepasi barisan pertahanan Selangor sebelum melepaskan sepakan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Usaha Selangor untuk memburu gol penyamaan tersentak apabila Pahang dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan import, Willian Pacheco dan Forkey Doe mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol ketiga Pahang pada minit ke-71.

Selangor selepas ini akan menghadapi Perak di Stadium TLDM, Lumut bagi perlawanan kelima Liga Super 2018 pada 11 Mac, namun terlebih dahulu akan berdepan pasukan Piala FAM, MOF FC bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA 2018 pada 3 Mac ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 23. Willian Pacheco, 26. Fairuz Abdul Aziz; 20. Syahmi Safari (30. D Kugan 85′), 14. Alfonso De La Cruz Calero (18. Ilham Udin Armaiyn 33′), 6. Evan Dimas, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (7. Sean Eugene Selvaraj 81′), 3. K Kannan; 10. Rufino Segovia, 17. Amri Yahyah.

PAHANG: 1. Helmi Eliza Elias; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad (4. R Dinesh 89′), 19. Afif Amiruddin, 14. Faisal Rosli (16. Zubir Azmi 90’+2); 26. Mohamadou Sumareh, 20. Nor Azam Abdul Azih, 21. Safuwan Baharudin, 11. Vathanaka Chan (9. Norshahrul Idlan Talaha 74′); 10. Francis Forkey Doe, 5. Patrick Dos Santos Cruz.

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab