Liga Super: Selangor 1 Pahang 3

Selangor gagal meneruskan rentak dua kemenangan ke atas Felda United FC dan Terengganu selepas tewas 3-1 kepada pendahulu Liga Super, Pahang pada perlawanan ke-14 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kekalahan itu turut menyaksikan Selangor turun satu anak tangga ke kedudukan keempat liga selepas dipintas Perak yang meraih tiga mata penuh menewaskan ATM 2-1 di Ipoh.

Di Shah Alam, Selangor kendalian Mehmet Durakovic bermula baik apabila berjaya mendahului 1-0 seawal minit kelima menerusi tandukan Robert Cornthwaite yang menyudahkan sepakan percuma Andik Vermansah.

Namun Pahang bimbingan Zainal Abidin Hassan bangkit pada babak kedua bermula jaringan penyamaan menerusi rembatan luar kotak penalti Zesh Rehman selepas menerima hantaran leret Azammuddin Akil dari sebelah kanan pada minit ke-51.

Gol kedua Pahang menyusul pada minit ke-59 menerusi satu serangan balas apabila Matias Conti mudah menolak masuk bola lorongan Dickson Nwakaeme.

Pahang terus selesa apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-68 selepas lambungan Hafiz Kamal dari dalam kotak penalti berjaya memperdayakan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Selepas 14 perlawanan, Pahang mengumpul 30 mata diikuti juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 28 mata, Perak 27 mata, Selangor 24 mata dan Felda United 22 mata untuk lima kedudukan teratas.

Seterusnya, Selangor akan bertemu JDT di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 13 Julai ini.

SELANGOR: 21. Hamsani Ahmad, 20. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, 2. Robert Cornthwaite, 5. Shahrom Kalam (c), 15. Raimi Md Nor, 7. Andik Vermansah, 10. Nazmi Faiz Mansor (12. Bunyamin Umar 87′), 25. K Gurusamy (8. Leandro dos Santos 52′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 14. Abdul Hadi Yahya, 19. Afiq Azmi (13. Guilherme De Paula 67′).

PAHANG: 1. Khairul Azhan Khalid, 41. Matthew Davies, 13. Razman Roslan (c), 4. Damion Stewart, 3. Saiful Nizam Miswan, 12. Azammuddin Akil (19. Fauzi Rozlan 81′), 6. Zesh Rehman, 21. Hafiz Kamal (33. Nor Azam Azih 90+2′), 24. R Gopinathan, 10. Dickson Nwakaeme, 9. Matias Conti (8. Azidan Sarudin 86′).

Pengadil: Mohd Nafeez Abdul Wahab