Liga Super: Selangor 1 Kelantan 0

Selangor berjaya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kelantan hasil jaringan Amri Yahyah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi untuk kembali merampas tangga keempat Liga Super 2017.

Selepas 17 perlawanan, juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih unggul di tangga teratas dengan 42 mata diikuti Kedah (31), Pahang (30), Selangor (27), Perak (27) dan Felda United (26) untuk enam kedudukan teratas menjelang baki lima lagi perlawanan.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, P Maniam hanya melakukan satu perubahan dalam kesebelasan utamanya ketika menewaskan JDT 3-2 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2017, Selasa lalu dengan Saiful Ridzuwan Selamat bermula dalam kesebelasan utama sambil merehatkan Andik Vermansah di bangku simpanan.

Kelantan kendalian Zahasmi Ismail bagaimanapun menguji gawang Selangor seawal minit ke-11, namun sepakan percuma Abou Bakr Al Mel berjaya ditangkap kemas Khairulazhan Khalid.

Selangor berjaya memperoleh gol pada minit ke-20 menerusi gerakan satu dua menarik Amri dan S Veenod dari tengah padang yang akhirnya disudahkan oleh Amri menerusi tandukan terbang selepas menerima bola hantaran Veenod dari sebelah kanan untuk menewaskan Ramdhan Ab Hamid.

Menuju baki permainan babak pertama, Abou Bakr sekali lagi menyaksikan percubaannya dari luar kotak penalti mudah diselamatkan Khairulazhan sementara Amri pula terlepas peluang menambah jaringan buat Selangor apabila sedikit lewat untuk menyudahkan bola lorongan Veenod di depan pintu gol.

Bersambung babak kedua, Selangor dilihat beraksi secara lebih bertahan sambil Kelantan berusaha keras untuk memburu gol penyamaan.

Peluang terbaik Kelantan hadir pada minit ke-60, namun tandukan Mamadou Danso selepas sepakan percuma Indra Putra Mahayuddin berjaya ditepis keluar Khairulazhan yang melayangkan badannya.

Penyerang import Selangor, Francis Forkey Doe kemudian beroleh dua peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan buat tuan rumah tetapi sepakan percumanya sedikit melewati palang gol dan satu lagi percubaannya menerusi larian ke dalam kotak penalti pantas disekat oleh Ramdhan.

Selangor selepas ini akan bertandang ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk berdepan Felda United bagi perlawanan ke-18 pada Rabu ini.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 26. Fairuz Abdul Aziz (17. Rizal Fahmi Rosid 17′); 2. A Namathevan, 4. Abdul Halim Zainal (12. Bunyamin Umar 83′), 23. S Veenod (7. Andik Vermansah 62′), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 15. Raimi Md Nor; Francis Forkey Doe, 29. Amri Yahyah.

KELANTAN: 1. Ramdhan Ab Hamid, 2. Norhafiz Zamani Misbah, 6. Farisham Ismail, 7. Qayyum Marjoni Sabil, 9. Abou Bakr Al Mel, 12. Mohamadou Danso, 18. Khairul Izuan Rosli (10. Nor Farhan Muhammad 78′), 21. Margaro Lima Gomis, 23. Indra Putra Mahayuddin (C), 29. Alessandro Padovani Celin (36. Nik Azli Nik Alias 61′), 35. Fadhilah Pauzi.

Pengadil: Khirulazuan Kidam