Liga Super: Selangor 1 Kedah 2

Selangor turun satu anak tangga ke kedudukan kesembilan Liga Super 2018 selepas gagal meraih mata di gelanggang sendiri, malam tadi apabila tewas 2-1 kepada Kedah pada perlawanan ke-12 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Namun skuad kendalian Nazliazmi Nasir itu kurang satu perlawanan berbanding pasukan lain berikutan perlawanan ke-11 bertemu PKNP FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada Rabu lalu terpaksa ditangguhkan ke tarikh kerana masalah lampu limpah.

Pada aksi malam tadi, Selangor turun tanpa tonggak pertahanan import, Willian Pacheco yang digantung perlawanan dan tempatnya diisi oleh pemain muda, Amirul Ashraf Ariffin sambil 10 pemain lain dikekalkan Nazliazmi daripada kesebelasan ketika mereka mengikat pendahulu, Johor Darul Ta’zim 2-2 pada 12 Mei lalu.

Babak awal permainan menyaksikan gawang Selangor yang dikawal Khairulazhan Khalid diuji menerusi sepakan percuma Liridon Krasniqi dan percubaan Ariff Farhan Md Isa yang kedua-duanya bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor itu.

Tuan rumah kemudian turut memiliki peluang terbaik, namun percubaan satu lawan satu pemain import dari Indonesia, Ilham Udin Armaiyn berjaya dihadang kemas penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Pada minit ke-27, Rufino Segovia sepatutnya sudah boleh meletakkan Selangor di hadapan namun tandukannya ketika hanya berdepan Ifwat Akmal selepas menerima hantaran jauh A Namathevan sekadar sipi ke kiri gawang Kedah.

Seminit kemudian, Kedah sebaliknya berjaya memperoleh gol pertama selepas ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar yang tanpa dikawal berjaya melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Syazwan Zainon dari sebelah kanan.

Melihatkan Joseph Kalang Tie gagal berfungsi dengan baik, Nazliazmi bertindak melakukan pertukaran awal dengan membawa masuk Amri Yahyah pada minit ke-40 dan pemain berpengalaman itu terus diberi lilitan lengan sebagai kapten yang sebelum itu digalas Saiful Ridzuwan Selamat.

Jurulatih Kedah, Nidzam Adzha Yusoff turut melakukan pertukaran awal selepas itu dengan memasukkan penyerang import baharu, Paulo Rangel yang pernah beraksi bersama Selangor untuk penampilan sulungnya pada minit ke-43 menggantikan Amirul Hisyam Awang Kechik.

Selepas babak pertama berakhir dengan Kedah mendahului 1-0, awal separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat itu terus selesa apabila berjaya menambah gol kedua pada minit ke-52.

Kali ini, hantaran Syazwan dari sebelah kiri gagal dikeluarkan dengan baik oleh pertahanan Selangor, K Kannan di depan pintu gol untuk membuka ruang buat Liridon Krasniqi melepaskan rembatan menewaskan Khairulazhan untuk kedudukan 2-0.

Kedah selepas itu hampir berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-59, mujur Namathevan menyelamatkan bola di depan pintu gol yang terbuka selepas Syazwan terdahulu telah berjaya mengatasi Khairulazhan.

Selangor akhirnya berjaya bangkit dengan memperoleh gol pertama pada minit ke-70 menerusi penyudah menarik pemain gantian, Syahmi Safari selepas menerima hantaran Kannan dari sebelah kiri untuk menggamamkan Ifwat Akmal di gawang gol Kedah.

Pada minit ke-79, gawang Kedah bocor lagi namun jaringan Amri dibatalkan pengadil selepas pemain Selangor itu dikesan menggunakan tangan untuk menyudahkan hantaran lintang Namathevan dan terus dilayangkan kad kuning.

Usaha Selangor memburu gol penyamaan berterusan sehingga ke masa kecederaan dan rembatan kencang kaki kiri oleh Kannan pada minit ke-91 dinafikan tindakan cemerlang Ifwat Akmal yang menampan keluar percubaan berbahaya tersebut untuk keputusan 2-1 kekal memihak kepada Kedah.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan pasukan kedua tercorot liga, Kelantan bagi perlawanan ke-13 di stadium yang sama pada Jumaat ini, 1 Jun 2018.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 2. A Namathevan, 5. Amirul Ashraf Ariffin, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 8. Saiful Ridzuwan Selamat (C), 6. Evan Dimas, 4. Abdul Halim Zainal (20. Syahmi Safari 55′); 19. Joseph Kalang Tie (17. Amri Yahyah 40′), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (28. Shahrul Iqwan Samsudin 80′).

KEDAH: 25. Ifwat Akmal Chek Kassim; 15. Rizal Ghazali, 2. Syawal Nordin, 4. Alvaro Silva, 27. Ariff Farhan Md Isa (24. Asri Mardzuki 57′); 14. Akram Mahinan, 16. Amirul Hisyam Awang Kechik (9. Paulo Rangel 43′); 7. Baddrol Bakhtiar (C), 8. Liridon Krasniqi, 22. Syazwan Zainon (20. Akhyar Rashid 71′); 10. Sandro da Silva.

Pengadil: Fitri Maskon