Liga Super: Selangor 1 JDT 2

Selangor kendalian jurulatih sementara, K Gunalan menamatkan saingan Liga Super 2016 di tangga kelima selepas tewas 2-1 kepada juara tiga musim berturut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Ia kekalahan ketiga berturut buat Selangor yang gagal meraih sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan terakhir selepas kali terakhir berjaya meraih kemenangan menewaskan PDRM 2-1 pada 16 Julai lalu.

Selepas berakhir 22 perlawanan, JDT unggul di tangga teratas dengan 58 mata diikuti Felda United (43), Kedah (37), Kelantan (29) dan Selangor (28).

Namun pada aksi malam tadi, Gunalan hanya menurunkan ‘barisan kedua’ apabila mengambil keputusan merehatkan Khairulazhan Khalid, Bunyamin Umar, Azmi Muslim, Andik Vermansah, S Veenod, R Gopinathan, Ahmad Hazwan Bakri dan Patrick Ronaldinho Wleh dalam kesebelasan utama.

Selain itu, Razman Roslan dan Ugochukwu Ukah pula digantung perlawanan, sekali gus memberi peluang buat dua pemain skuad Piala Presiden, A Namathevan dan Faizzudin Abidin beraksi dalam barisan permulaan.

Dua percubaan awal JDT kendalian Mario Gomez menerusi Jorge Pereyra Diaz pada minit kelapan dan Gary Steven Robbat minit ke-12 berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selangor melakukan gerakan cantik pada minit ke-26 apabila lorongan Fitri Shazwan Raduwan diledak Abdul Hadi Yahaya untuk menggegar palang JDT, namun penyerang berusia 31 tahun itu telah dikesan berkedudukan ofsaid.

Pada minit ke-35, gawang Selangor cemas seketika tetapi Namathevan yang beraksi di posisi pertahanan kanan berjaya menghadang kemas percubaan Diaz dalam kotak penalti.

Bersambung babak kedua, JDT akhirnya berjaya memperoleh gol pertama hasil jaringan Diaz menerusi satu serangan balas pada minit ke-64.

Bagi menambah sengat di barisan depan, Gunalan membawa masuk Ahmad Hazwan menggantikan Mauro Olivi pada minit ke-66.

Hasilnya Selangor berjaya menyamakan kedudukan selepas Ahmad Hazwan memperdaya pertahanan import JDT, Marcos Antonio sebelum melepaskan sepakan menewaskan penjaga gol lawan, Farizal Marlias pada minit ke-71.

Namun JDT kembali di hadapan menerusi jaringan Amri Yahyah pada minit ke-77 untuk gol kedua pelawat.

Peluang terbaik Selangor untuk sekali lagi menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-80, namun percubaan Ahmad Hazwan dalam kotak penalti berjaya dihadang keluar pertahanan JDT.

JDT pula nyaris berjaya menambah jaringan pada minit ke-89 tetapi sepakan percuma pemain gantian, Safiq Rahim berjaya ditepis baik Norazlan untuk penjaga gol Selangor itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Selangor selepas ini bakal menutup tirai musim ini bertemu Kedah pada Final Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam pada Ahad, 30 Oktober ini dalam misi mempertahankan kejuaraan musim lalu, sekali gus memburu kejuaraan kali ke-34 piala berprestij itu.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 32. A Namathevan, 5. Shahrom Abdul Kalam (C), 17. Rizal Fahmi Rosid (23. S Veenod 48′), 15. Raimi Md Nor, 31. Faizzudin Abidin (7. Andik Vermansah 37′), 9. Adam Nor Azlin, 21. Hafiz Kamal, 24. Fittri Shazwan Raduwan, 14. Abdul Hadi Yahaya, 16. Mauro Olivi (11. Ahmad Hazwan Bakri 66′).

JDT: 1. Farizal Marlias, 12. S Kunanlan, 6. Marcos Antonio, 25. Junior Eldstal, 15. Fazly Mazlan, 2. Azammuddin Akil (23. S Chanthuru 62′), 13. Gary Steven Robbat, 14. Hariss Harun (C) (8. Safiq Rahim 76′), 28. Azinee Taib (17. Amri Yahyah 29′), 11. Jorge Pereyra Diaz, 19. Juan Martin Lucero.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin