Liga Super: Selangor 1 Felda United 2

Selangor terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata dengan pasukan tangga kedua, Felda United selepas tewas 2-1 kepada kelab berkenaan pada perlawanan ke-15 Liga Super 2016 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dua jaringan bekas penyerang import Selangor, Francis Forkey Doe pada setiap babak sudah cukup buat Felda United yang dibimbing bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim terus menghambat pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas.

Berbaki tujuh lagi perlawanan, JDT kini mengumpul 39 mata selepas berjaya menewaskan Kelantan 1-0 di Larkin untuk terus berkelebihan dua mata mengatasi Felda United di tangga kedua dengan 37 mata manakala Selangor kekal di tangga ketiga dengan 26 mata.

Selangor bagaimanapun sedikit bernasib baik apabila dua pencabar terdekat, Kedah dan Kelantan turut tewas kepada lawan masing-masing untuk kekal di tangga keempat dan kelima dengan 19 mata dan 17 mata.

Di Shah Alam malam tadi, gawang Selangor bolos seawal minit ketiga selepas Forkey Doe mudah melepasi kawalan pertahanan tuan rumah untuk merembat masuk menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid selepas menerima lambungan cantik daripada Zah Rahan Krangar.

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor mencipta peluang pada minit kelima, namun percubaan Mauro Olivi dari luar kotak penalti berjaya ditangkap kemas penjaga gol Felda United, Farizal Harun.

Selangor sekali lagi terlepas peluang pada minit ke-18 selepas hantaran cantik Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kanan lambat disambut Patrick Ronaldinho Wleh lalu mudah diselamatkan oleh Farizal.

Dua minit kemudian, giliran Firdaus Faudzi mencemaskan pintu gol Selangor tetapi percubaannya dalam kotak penalti selepas gerakan satu dua dengan Lutfulla Turaev tinggi melewati palang gol.

Bersambung babak kedua, Selangor terus mengasak untuk memburu gol dan hasilnya pada minit ke-63, Ronaldinho mudah menolak masuk gol penyamaan buat tuan rumah berpunca daripada kesilapan Farizal yang gagal menangkap kemas bola hantaran Ahmad Hazwan dari sebelah kiri.

Kegembiraan penyokong Selangor bagaimanapun tidak lama apabila Felda United berjaya memperoleh gol kemenangan juga menerusi Forkey Doe yang pantas menyudahkan tolakan Zah Rahan selepas menerima hantaran lintang awal dari Turaev pada minit ke-71.

Peluang terbaik Selangor untuk menyamakan kedudukan disia-siakan Nazmi Faiz Mansor yang merembat tinggi melewati palang gol selepas beroleh peluang terbuka di depan pintu gol Felda United pada minit ke-79.

Kemasukan supersub, Adam Nor Azlin pada minit ke-86 turut gagal membantu Selangor menghasilkan gol penyamaan, sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan pertama di Stadium Shah Alam, musim ini.

Selangor selepas ini akan bertemu Pahang untuk perlawanan ketiga Kumpulan B bagi saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu ini disusuli aksi ke-16 Liga Super bertemu T-Team di Kuala Terengganu pada 3 Ogos.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 15. Raimi Md Nor (9. Adam Nor 86′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 23. S Veenod (8. Saiful Ridzuwan Selamat 85′), 21. Hafiz Kamal, 10. Nazmi Faiz Mansor, 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (3. Azmi Muslim 78′).

FELDA UNITED: 30. Farizal Harun, 19. Firdaus Faudzi (15. Idris Ahmad 58′), 12. Shukor Adan (C), 3. Gilberto, 5. Adib Aizuddin Ab Latif, 11. Ahmad Syamim Yahya (8. Ahmad Fakri Saarani 68′), 21. Syahid Zaidon, 13. Lutfulla Turaev, 16. Christie Jayaseelan, 10. Zah Rahan Krangar, 24. Francis Forkey Doe (18. Aizulridzwan Razali 87′).

Pengadil: Mohd Fairuzi Mat Desa