Liga Super: Selangor 0 Perak 1

Selangor kendalian jurulatih sementara, K Gunalan turun satu lagi anak tangga ke kedudukan kelima Liga Super 2016 selepas tewas 1-0 kepada Perak pada perlawanan ke-21 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Berbaki satu lagi perlawanan menentang juara tiga musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Oktober depan, Selangor sudah tidak mampu untuk memintas pasukan tangga ketiga, Kedah bagi mengekalkan kedudukan yang dimenangi musim lalu.

JDT gah di tangga teratas dengan 55 mata diikuti Felda United (43), Kedah (37), Kelantan (28), Selangor (28), Perak (27) dan T-Team (26) untuk tujuh pasukan teratas manakala baki lima pasukan – Sarawak, PDRM, Pahang, Pulau Pinang dan Terengganu masih bergelut mengelak dua kedudukan tercorot turun ke Liga Premier 2017.

Bagi Selangor, kekalahan terbaharu kepada Perak itu menyaksikan skuad Red Giants sudah lapan perlawanan berturut tanpa sebarang kemenangan dalam saingan liga selepas kali terakhir menewaskan PDRM 2-1 pada 16 Julai lalu.

Gol kemenangan Perak diperoleh menerusi jaringan sendiri Ugochukwu Ukah pada minit ke-49 sebelum pemain pertahanan import Selangor itu dibuang padang pada minit ke-82 selepas dilayangkan kad kuning kedua, seterusnya kad merah oleh pengadil.

Pada aksi malam tadi, Selangor bermula baik dengan peluang pertama hadir seawal minit ketujuh tetapi sepakan percuma ketua pasukan, Andik Vermansah tepat ke dakapan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Ia disusuli tolakan Patrick Ronaldinho Wleh, tiga minit berselang selepas memperdaya penjaga gol Perak itu, namun bola sempat dikeluarkan Nazirul Naim Che Hashim di depan pintu gol.

Perak kendalian Karl-Heinz Weigang kemudian bangkit dengan percubaan kaptennya, Nasir Basharudin dari luar kotak penalti pada minit ke-18 yang berjaya ditepis penjaga gol Selangor, Norazlan Razali melantun terkena tiang sebelum dua sepakan percuma berturut Oybek Kilichev pada minit ke-21 dan 23 berjaya diselamatkan Norazlan.

Selangor kemudian sekali lagi beroleh peluang terbaik pada minit ke-24, namun tandukan Ronadinho di depan pintu gol Perak selepas menerima hantaran cantik Ahmad Hazwan Bakri dari sebelah kiri sedikit tersasar.

Perak juga nyaris memecah kebuntuan pada minit ke-37 tetapi tandukan Shahrul Saad selepas sepakan sudut Kilichev berjaya ditepis dengan baik oleh Norazlan.

Gunalan kemudian terpaksa mengeluarkan Bunyamin Umar yang mengalami kecederaan dan Razman Roslan dibawa masuk pada minit ke-43.

Tanpa jaringan pada babak pertama, gawang Selangor akhirnya bocor pada awal babak kedua selepas bola sepakan Nasir telah tertolak masuk oleh Ukah untuk menghadiahkan gol pertama buat Perak pada minit ke-49.

Perak hampir menambah jaringan pada minit ke-52, mujur percubaan depan gol oleh Elias Fernandes berjaya ditepis keluar Norazlan.

Gunalan kemudian melakukan dua baki pertukaran dengan memasukkan R Gopinathan dan Azmi Muslim menggantikan Fittri Shazwan Raduwan dan Raimi Md Nor, masing-masing pada minit ke-60 dan 70.

Namun Selangor semakin tertekan apabila terpaksa beraksi 10 pemain pada baki lapan minit terakhir permainan selepas Ukah dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Fazrul Hazli Kadri dan gagal mendapatkan gol penyamaan sehingga wisel penamat ditiup pengadil.

Selangor selepas ini akan memberi fokus kepada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2016 bertemu T-Team di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini dan di Kuala Terengganu pada 15 Oktober depan dalam misi memburu kejuaraan ke-34 bagi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar (13. Razman Roslan 43′), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Rosid, 15. Raimi Md Nor (3. Azmi Muslim 70′), 7. Andik Vermansah (C), 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 10. Nazmi Faiz Mansor, 24. Fittri Shazwan Raduwan (25. R Gopinathan 60′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

PERAK: 22. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, 23. Amirul Azhan Aznan, 3. Shahrul Saad, 15. Raffi Nagoorgani, 21. Nazirul Naim Che Hashim (55. Irfan Ghani 84′), 12. D Kenny Pallraj (14. Fikri Sudin 90+2′), 26. Thiago Junio, 4. Nasir Basharudin (C), 17. Elias Fernandes, 19. Fazrul Hazli Kadri, 30. Oybek Kilichev (13. Ahmad Sukri Ab Hamid 90+4′).

Pengadil: Mohd Nafeez Abd Wahab