Selangor terus kemarau kemenangan untuk empat perlawanan berturut selepas tewas 2-0 kepada pasukan tangga kedua, Pahang pada perlawanan ke-13 Liga Super 2017 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Dua jaringan penyerang import, Matheus Alves pada minit ke-74 dan 83 memastikan kemenangan buat Pahang tatkala kekalahan menolak Selangor kendalian P Maniam turun satu kedudukan ke tangga kelima sebelum saingan liga berehat panjang sempena Ramadan.

Namun aksi malam tadi telah menarik kehadiran 10,000 penyokong yang memenuhi seluruh ruang di Stadium Selayang bagi menyaksikan penampilan sulung Amri Yahyah dan Andik Vermansah yang kembali bersama Selangor selepas pintu perpindahan kedua dibuka baru-baru ini.

Permulaan baik seawal minit pertama apabila hantaran cantik Amri dari sebelah kiri mencari Juliano Mineiro, namun pemain import Selangor dari Brazil itu lambat melakukan percubaan yang seterusnya mudah diselamatkan penjaga gol Pahang, Wan Azraie Wan Teh.

Bagaimanapun aksi selepas itu lebih dikuasai Pahang kendalian Dollah Salleh yang tampak lebih banyak mencipta peluang menerusi percubaan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-25 dan rembatan deras Alves minit ke-32 yang sedikit sipi daripada pintu gol Selangor dikawal Khairulazhan Khalid.

Peluang terbaik Pahang hadir pada minit ke-37 berpunca kesilapan pemain pertahanan import Selangor, Ugochukwu Ukah, namun percubaan bahaya daripada Alves sempat ditepis keluar oleh Khairulazhan.

Dua minit berselang, giliran Selangor menguji gawang Pahang tetapi tandukan Ukah selepas menyambut bola sepakan percuma Amri mudah ditangkap oleh Wan Azraie untuk menamatkan babak pertama terikat tanpa jaringan.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor beroleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-47, namun peluang terbuka di depan pintu gol Pahang gagal disempurnakan Francis Forkey Doe apabila sepakan kencang dilakukannya berjaya dihadang kemas Wan Azraie.

Pahang akhirnya berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-74 selepas hantaran lintang kapten, Matthew Davies dari sebelah kanan ditanduk kemas Alves untuk menewaskan Khairulazhan.

Belum sempat Selangor memperkemas permainan bagi mencari gol penyamaan, Pahang berjaya menambah gol kedua pada minit ke-83 apabila Alves melepaskan sepakan deras yang gagal diselamatkan Khairulazhan.

Pada minit ke-87, malang terus menimpa Selangor apabila terpaksa beraksi 10 pemain selepas pemain gantian, Abdul Halim Zainal dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran terhadap pemain Pahang.

Saingan Liga Super 2017 akan berehat selama lima minggu dan apabila bersambung nanti, Selangor akan menanti kunjungan T-Team untuk perlawanan ke-14 pada 1 Julai.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (23. S Veenod 90’+1), 28. Juliano Mineiro (24. Fittri Shazwan Raduwan 86′), 3. K Kannan; 29. Amri Yahyah, 10. Francis Forkey Doe, 7. Andik Vermansah (4. Abdul Halim Zainal 67′).

PAHANG: 27. Wan Azraie Wan Teh; 2. Matthew Davies (C), 24. Muslim Ahmad, 15. Heo Jae-won, 14. Faisal Rosli; 26. Mohamadou Sumareh, 11. Ahmad Syamim Yahya (16. Nurridzuan Abu Hassan 84′), 20. Nor Azam Abdul Azih (3. Saifulnizam Miswan 90′), 8. Wan Zaharulnizam Wan Zakaria (6. D Christie Jayaseelan 77′); 10. Yamil Romero, 29. Matheus Alves.

Pengadil: Nazmi Nasaruddin