Liga Super: Selangor 0 Pahang 1

Selangor terus kemarau kemenangan pada saingan Liga Super 2016 selepas tewas 1-0 kepada pasukan tercorot, Pahang pada perlawanan ke-20 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Berbaki dua perlawanan, Selangor kekal di tangga keempat dengan 28 mata, ketinggalan enam mata di belakang pasukan tangga ketiga, Kedah yang berjaya menewaskan Perak 3-1 di laman sendiri.

Gol tunggal perlawanan menerusi penyerang import Pahang, Pablo Vranjican minit ke-33 menyaksikan Selangor kini sudah tujuh perlawanan liga tanpa kemenangan selepas kali terakhir berjaya dilakukan ketika menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Shah Alam, 16 Julai lalu.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, K Gunalan terpaksa menurunkan kesebelasan pemain tempatan kecuali Andik Vermansah selepas dua penyerang importnya, Patrick Ronaldinho Wleh dan Mauro Olivi mengalami kecederaan manakala pertahanan import, Ugochukwu Ukah menjalani penggantungan perlawanan akibat kad merah.

Sebaliknya Pahang yang dibimbing Razip Ismail turun dengan mempertaruhkan keempat-empat pemain importnya – Vranjican, Faysal Shayesteh, Claudio Meneses dan Jailton De Campos.

Selangor yang bermula garang terlepas dua peluang terbaik di depan gol apabila hantaran kapten, Andik Vermansah dari sebelah kanan gagal disambar Adam Nor Azlin dan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-10 diikuti dua minit kemudian apabila percubaan berturut S Veenod dan Andik berjaya dihadang kemas penjaga gol Pahang, Nasril Nourdin.

Selepas itu, giliran Pahang pula beroleh dua peluang terbaik tetapi percubaan Shayesteh pada minit ke-24 berjaya dihadang keluar Norazlan Razali disusuli percubaan Vranjican dua minit berselang yang turut berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor itu.

Gol Pahang akhirnya menjelma pada minit ke-33 berpunca daripada lontaran ke dalam yang gagal dikeluarkan pertahanan Selangor lalu menyaksikan Vranjican yang tidak dikawal berjaya melepaskan sepakan kemas ke penjuru gawang untuk menewaskan Norazlan.

Gawang Selangor bocor lagi pada minit ke-37, namun ‘gol kedua’ Pahang menerusi pemain gantian, Faizal Abdul Rani dibatalkan pengadil kerana De Campos terlebih dahulu didapati mengasari Norazlan ketika cuba menangkap bola.

Bersambung babak kedua, Selangor kembali bersemangat untuk memburu gol penyamaan tetapi sepakan lencong menarik Andik yang kelihatan hampir saja menerjah jaring di penjuru kiri gawang Pahang berjaya ditepis keluar dengan baik oleh Nasril pada minit ke-52.

Selepas itu, Selangor dilihat semakin sukar untuk menembusi benteng pertahanan Pahang dan hanya tandukan Ahmad Hazwan yang ditangkap kemas Nasril pada minit ke-71 dilihat agak berbahaya.

Pintu gol Selangor pula cemas seketika pada minit ke-78 tetapi sepakan percuma Shayesteh berjaya ditepis keluar oleh Norazlan.

Sehingga wisel penamat, Selangor terus buntu untuk memecah kekebalan benteng pelawat untuk merelakan Pahang berjaya menamatkan kemarau kemenangan mereka selepas enam perlawanan dalam cubaan menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Premier musim depan.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNS FC untuk perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini selepas menang tipis 4-3 pada aksi pertama di gelanggang sama, 28 Ogos lalu dalam misi meneruskan langkah bagi mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu.

Bagi saingan Liga Super 2016, baki dua lagi perlawanan yang perlu dihadapi Selangor ialah bertemu Perak pada 24 September ini dan berdepan pasukan yang baru saja dinobatkan juara tiga musim berturut, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Oktober, kedua-duanya di Stadium Shah Alam.

SELANGOR: 22. Norazlan Razali, 12. Bunyamin Umar, 13. Razman Roslan, 17. Rizal Fahmi Rosid, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 23. S Veenod, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (34. Faizzudin Abidin 89′), 25. R Gopinathan (24. Fittri Shazwan Raduwan 77′), 9. Adam Nor Azlin, 11. Ahmad Hazwan Bakri (10. Nazmi Faiz Mansor 80′).

PAHANG: 1. Nasril Nourdin, 2. Matthew Davies (C), 23. Jailto De Campos, 30. Ashar Al-Aafiz (24. R Dinesh 84′), 3. Saiful Nizam Miswan, 19. Fauzi Rozlan, 8. A Salamon Raj, 5. Claudio Meneses, 14. Faisal Mohd Rosli (13. Faizal Abdul Rani 13′) (4. Ridhwan Maidin 90+2′), 10. Faysal Shayesteh, 9. Pablo Vranjican.

Pengadil: Zulkifli Ahmad