Selangor berjaya merampas tangga keempat Liga Super 2017 daripada Perak selepas membawa pulang satu mata dari tempat lawan apabila seri 1-1 dengan Sarawak pada perlawanan ke-12 di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.

Pada perlawanan sulung pusingan kedua liga itu, Selangor ketinggalan menerusi jaringan Mateo Roskam pada minit ke-34 sebelum menyamakan kedudukan 10 minit kemudian hasil jaringan pemain pertahanan, Rizal Fahmi Ab Rosid.

Terdahulu, jurulatih Selangor, P Maniam mempertaruhkan gandingan Afiq Azmi, Victor Astafei dan Fittri Shazwan Raduwan untuk mengemudi jentera depan Red Giants selepas penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe tidak dibawa ke Kuching.

Amaran awal Selangor pada minit kesembilan menerusi sepakan percuma Juliano Mineiro dari sebelah kanan yang berjaya ditangkap kemas penjaga gol Sarawak, Shahril Sa’ari sebelum sempat disambar pemain-pemain Selangor yang lain.

Tiga minit berselang, giliran Roskam menguji gawang Selangor tetapi tandukannya di dalam kotak penalti berjaya diselamatkan dengan baik oleh penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Namun gawang Selangor bocor pada minit ke-34 apabila kesilapan pertahanan import, Ugochukwu Ukah yang terjatuh membolehkan hantaran dibuat Abdul Rahim Abdul Razak dan disudahkan dengan kemas oleh Roskam di depan gawang untuk gol pertama Sarawak.

Ukah cuba menebus kesilapan apabila naik membantu ketika sepakan sudut pada minit ke-37, namun sepakannya di dalam kotak penalti berjaya dihadang keluar pertahanan Sarawak.

Selangor akhirnya berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-44 menerusi gerakan secara individu oleh Rizal Fahmi yang kemudiannya melepaskan sepakan menuju tiang gol kiri Sarawak sebelum bola melantun masuk melepasi kawalan Shahril.

Bersambung separuh masa kedua, Selangor beroleh peluang awal pada minit ke-47 tetapi percubaan lemah Victor Astafei di depan pintu gol Sarawak mudah diselamatkan Shahril manakala satu lagi percubaan menerusi Afiq Azmi dalam kotak penalti pada minit ke-52 turut berjaya dihadang kemas penjaga gol Sarawak itu.

Peluang terbaik Selangor untuk mendahului hadir pada minit ke-61, namun sepakan cantik pemain muda, Syahmi Safari sekadar menuju tepat ke palang gol Sarawak dan melantun keluar.

Dua peluang terbaik menyusul buat Selangor pada minit ke-81 menerusi rembatan padu Mineiro yang ditepis baik dengan layangan badan Shahril dan sepakan sudut susulan pula ditanduk Rizal Fahmi tepat ke arah tiang kiri pintu gol Sarawak.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel penamat untuk satu mata diraih menyaksikan Selangor kini mengumpul 17 mata, sama mata dengan Perak tetapi dipisahkan perbezaan gol manakala Sarawak kendalian David Usop kekal di tangga ke-11 dengan 10 mata.

Bagi perlawanan ke-13 selepas ini, Selangor akan bertemu pasukan tangga kedua, Pahang di laman sendiri pada 24 Mei ini.

SARAWAK: 25. Shahril Sa’ari; 13. Dzulazlan Ibrahim, 17. Hairol Mokhtar, 2. Ronny Harun (C), 12. Ramesh Lai Ban Huat; 30. Abdul Rahim Abdul Razak (10. Mark Hartmann 83′), 3. Demerson, 28. Awang Kamaruddin Awg Bohan (26. Alif Hassan 79′), 8. Tommy Mawat Bada; 20. Shreen Tambi (7. Nur Shamie Iszuan Amin 57′), 9. Mateo Roskam.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 13. Razman Roslan (C), 18. Ugochukwu Ukah, 17. Rizal Fahmi Ab Rosid; 20. Syahmi Safari, 8. Saiful Ridzuwan Selamat, 28. Juliano Mineiro (9. Adam Nor Azlin 87′), 3. K Kannan; 30. Victor Astafei, 19. Afiq Azmi (4. Abdul Halim Zainal 56′), 24. Fittri Shazwan Raduwan (27. Nurshamil Abd Ghani 70′).

Pengadil: Khirulazuan Kidam