Liga Super: Sarawak 1 Selangor 1

Selangor sekadar berjaya mencuri satu mata dari gelanggang lawan apabila seri 1-1 dengan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi untuk kekal menghuni tangga keempat Liga Super 2016 ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan Selangor meneruskan kemarau kemenangan sepanjang enam perlawanan liga berturut-turut selepas kali terakhir berjaya meraih kemenangan ketika menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Shah Alam pada 16 Julai lalu.

Pada aksi malam tadi, Sarawak kendalian David Usop mendahului pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti Junior Aparecido sebelum disamakan Selangor hasil jaringan pemain gantian, Adam Nor Azlin pada minit ke-76.

Terdahulu jurulatih sementara Selangor, K Gunalan terpaksa melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utamanya termasuk meletakkan Razman Roslan bergandingan dengan S Veenod di posisi tengah berikutan kecederaan Nazmi Faiz Mansor dan Hafiz Kamal serta penggantungan Saiful Ridzuwan Selamat.

Pemain import, Mauro Olivi dan pemain sayap, R Gopinathan turut tidak dibawa ke Kuching kerana masalah kecederaan selain kapten, Shahrom Kalam yang masih belum pulih.

Percubaan berbahaya pertama Selangor menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-12 berjaya diselamatkan Shahril Sa’ari disusuli rembatan jauh kapten, Andik Vermansah pada minit ke-20 yang turut berjaya dihalang penjaga gol Sarawak itu.

Pada minit ke-33, Sarawak beroleh sepakan percuma, namun sepakan yang diambil Junior itu sedikit tinggi melewati palang gol Selangor dikawal Khairulazhan Khalid.

Namun gawang Selangor bocor juga pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti yang berjaya disudahkan Junior selepas Razman menjatuhkan pemain Sarawak.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun sepakan Ahmad Hazwan Bakri tinggi melepasi palang gol tuan rumah.

Bagi memperkasa jentera depan, Gunalan melakukan pertukaran pertama dengan membawa masuk Adam Nor menggantikan Razman pada minit ke-60.

Sepakan percuma cantik Azmi Muslim sekadar menggegar tiang gol Sarawak pada minit ke-68, namun Selangor akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi penyudah Adam Nor pada minit ke-76 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Selangor kemudian berjaya menembusi gawang Sarawak buat kali kedua pada minit ke-87, namun ‘jaringan’ yang terhasil selepas sepakan percuma Azmi itu dibatalkan pengadil selepas pemain Selangor dikesan sudah berkedudukan ofsaid.

Pada penghujung permainan, Selangor terpaksa beraksi 10 pemain selepas pertahanan import, Ugochukwu Ukah dilayangkan kad merah berikutan insiden pergeseran dengan Bunyamin Umar di hadapan pintu gol.

Selepas 19 perlawanan, JDT terus unggul di tangga pertama dengan 49 mata diikuti Felda United (42), Kedah (31), Selangor (28), Kelantan (24) dan Perak (24) untuk enam kedudukan teratas Liga Super.

Selangor selepas ini akan bertemu PKNS FC untuk perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2016 di Stadium Shah Alam pada Ahad ini sebelum saingan berhenti rehat untuk perlawanan antarabangsa skuad kebangsaan.

SARAWAK: 25. Shahril Saa’ri, 2. Ronny Harun (C), 9. Ndumba Makeche, 12. Ramesh Lai Ban Huat, 13. Dzulazlan Ibrahim, 16. Shahrol Saperi, 19. Junior Aparecido, 20. Shreen Tambi, 29. Teah Dennis, 30. Gilmar Filho, 34. Tommy Mawat.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 17. Rizal Fahmi Rosid, 18. Ugochukwu Ukah, 3. Azmi Muslim, 7. Andik Vermansah (C), 13. Razman Roslan (9. Adam Nor Azlin 60′), 23. S Veenod, 35. K Kannan (24. Fittri Shazwan Raduwan 78′), 11. Ahmad Hazwan Bakri, 4. Patrick Ronaldinho Wleh (14. Abdul Hadi Yahaya 84′).

Pengadil: Zulkifli Ahmad