ABK17

Liga Super: Pulau Pinang 1 Selangor 3

Selangor berjaya meraih kemenangan pada perlawanan terakhir Liga Super 2017 dengan menewaskan pasukan tercorot, Pulau Pinang 3-1 di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam tadi untuk menamatkan saingan di tangga keenam daripada 12 pasukan bertanding.

Tiga mata penuh yang diraih itu turut menamatkan rentetan lima kekalahan berturut skuad kendalian P Maniam itu sejak 9 September lalu merangkumi dua perlawanan Liga Super dan tiga perlawanan Piala Malaysia yang menyaksikan Selangor disingkirkan Kedah pada peringkat suku akhir.

Pada aksi malam tadi, Maniam memberikan penampilan sulung dalam kesebelasan utama buat dua pemain pertahanan muda, A Tamil Maran, 20, dan Amirul Ashraf Ariffin, 19, sambil beberapa tonggak utama seperti kapten Razman Roslan, Adam Nor Azlin, Raimi Md Nor dan Francis Forkey Doe langsung tidak disenaraikan.

Namun Selangor tetap berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi sepakan lambung jarak jauh pemain import dari Indonesia, Andik Vermansah yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Amirul Asyraf Suhaidi pada minit ke-25.

Pulau Pinang kendalian bekas jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada awal separuh masa kedua menerusi penyudah depan gol penyerang skuad B-22 kebangsaan, Jafri Firdaus Chew pada minit ke-48.

Selangor bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali memimpin permainan selepas penyerang import dari Sepanyol, Rufino Segovia mudah menewaskan Amirul Asraf pada minit ke-50 untuk gol kedua pasukan pelawat.

Rufino sekali lagi membuktikan ketajamannya di depan pintu gol apabila berjaya menyudahkan hantaran Andik untuk gol kedua peribadinya dan gol ketiga Selangor pada minit ke-62.

Pulau Pinang berpeluang merapatkan jurang gol pada minit ke-74, namun sepakan penalti diambil Syamer Kutty Abba berjaya diselamatkan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dan percubaan susulan pemain tengah kebangsaan itu tinggi melewati palang.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Selangor menamatkan 22 perlawanan musim ini dengan mengumpul 33 mata menerusi sembilan kemenangan, enam seri dan tujuh kali tewas, hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Kedah dan satu mata kurang daripada pasukan tangga kelima, Perak.

Juara Liga Super terus kekal menjadi milik Johor Darul Ta’zim yang mengumpul 49 mata diikuti Pahang selaku naib juara dengan 40 mata manakala Felda United muncul pemenang tempat ketiga dengan 39 mata.

Pulau Pinang di tangga tercorot diiringi Sarawak menjadi dua pasukan yang akan turun ke Liga Premier 2018 sambil juara Liga Premier musim ini, Kuala Lumpur dan naib juaranya, Terengganu akan naik untuk mengisi dua kekosongan tersebut bagi saingan Liga Super 2018.

PULAU PINANG: 25. Amirul Asyraf Suhaidi, 5. Azidan Sarudin (10. Nigel Dabinyaba), 7. Jafri Firdaus Chew (13. Faiz Subri), 11. Azrul Ahmad, 14. Syamer Kutty Abba, 16. Sanna Nyassi, 17. Faizat Ghazli, 19. Redzuan Suhaidi, 20. Rafiuddin Roddin (C) (18. Zulkhairi Zulkepli), 27. K Reuben, 36. Khairul Akmal Rokisham.

SELANGOR: 21. Norazlan Razali; 33. A Tamil Maran, 18. Ugochukwu Ukah, 6. Amirul Ashraf Ariffin; 20. Syahmi Safari, 4. Abdul Halim Zainal, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (16. K Sarkunan 82′), 23. S Veenod (3. K Kannan 63′); 7. Andik Vermansah (11. Faizzudin Abidin 88′), 30. Rufino Segovia, 29. Amri Yahyah (C).

Pengadil: Fitri Maskon