Liga Super: Pulau Pinang 1 Selangor 1

Selangor gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super 2016 selepas seri 1-1 dengan pasukan tercorot, Pulau Pinang pada perlawanan ke-14 di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Dengan keputusan seri itu, Selangor kekal di tangga ketiga dengan 26 mata, di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengumpul 36 mata selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Kuching, kelmarin diikuti Felda United dengan 34 mata selepas menundukkan PDRM 2-1 di Melaka, malam tadi.

Jaringan pendahuluan Pulau Pinang menerusi Jeong Seok-Min pada minit ke-26 berjaya dipadam Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-33, namun Selangor yang terus mencuba gagal untuk mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat ditiup pengadil, Amirul Izwan Yaacob.

Terdahulu, perlawanan dimulakan lewat hampir 30 minit iaitu jam 9.27 malam kerana hujan lebat tetapi ia tidak menghalang pasukan tuan rumah, Pulau Pinang kendalian Nenad Bacina mahu pun pasukan pelawat, Selangor untuk mempamerkan persembahan menghiburkan.

Selangor mencuba seawal minit ke-11, namun sepakan Ronaldinho berjaya dihadang penjaga gol Pulau Pinang, Sani Anuar Kamsani disusuli tandukan penyerang import dari Liberia itu seminit kemudian yang sedikit tersasar selepas menerima bola hasil sepakan penjuru Hafiz Kamal.

Bagaimanapun Pulau Pinang yang berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-26 selepas Seok-Min menyudahkan bola hasil satu gerakan menarik berpunca daripada sepakan percuma pendek.

Jaringan pendahuluan tuan rumah itu hanya bertahan tujuh minit apabila Selangor berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan kencang Ronaldinho selepas menerima hantaran Mauro Olivi pada minit ke-33.

Menuju penghujung babak pertama, Selangor terlepas dua peluang terbaik untuk mendahului apabila tandukan Ronaldinho hasil sepakan penjuru Hafiz diselamatkan pertahanan Pulau Pinang pada minit ke-41 disusuli percubaan kapten, Razman Roslan di depan pintu gol, dua minit kemudian yang tidak menepati sasaran biarpun Sani Anuar sudah tertewas.

Bersambung babak kedua, Selangor terus rancak memburu gol tetapi hantaran cantik Bunyamin Umar pada minit ke-52 sekadar ditanduk tinggi Ronaldinho manakala sepakan percuma Olivi dari sebelah kiri pada minit ke-56 gagal disudahkan S Veenod biarpun dia tidak dikawal.

Pada minit ke-68, sepakan percuma Hafiz pula berjaya diselamatkan Sani Anuar manakala tandukan Ronaldinho selepas menerima lambungan Bunyamin sedikit tersasar pada minit ke-88 untuk kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan menanti kunjungan Felda United di Stadium Shah Alam, Selasa ini untuk perlawanan ke-15.

PULAU PINANG: 22. Sani Anuar Kamsani, 60. Farisham Ismail, 4. Reinaldo Lobo, 2. Mafry Balang, 3. Fitri Omar, 26. S Kumaahran (21. Failee Ghazli 76′), 6. Jeong Seok-Min, 7. Matias Cordoba (C), 12. Elias Sulaiman (9. Fauzan Dzulkifli 50′), 17. Faizat Ghazli (27. Jafri Firdaus Chew 85′), 10. Ranti Martins.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid, 12. Bunyamin Umar, 18. Ugochukwu Ukah, 13. Razman Roslan (C), 3. Azmi Muslim, 25. R Gopinathan (15. Raimi Md Nor 90’+1), 23. S Veenod (8. Saiful Ridzuwan Selamat 86′), 21. Hafiz Kamal, 11. Ahmad Hazwan Bakri (9. Adam Nor Azlin 80′), 16. Mauro Olivi, 4. Patrick Ronaldinho Wleh.

Pengadil: Amirul Izwan Yaacob