ABK17

Liga Super: PKNS FC 2 Selangor 2

Selangor terlepas peluang untuk meraih kemenangan ketiga berturut dalam saingan Liga Super 2018 selepas jaringan pada masa kecederaan Rafael Ramazotti menyaksikan mereka terikat seri 2-2 dengan PKNS FC pada perlawanan ke-15 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Turun dengan dua perubahan dilakukan jurulatih Nazliazmi Nasir dalam kesebelasan utamanya dengan Faizzudin Abidin dan Abdul Halim Zainal menggantikan tempat Joseph Kalang Tie dan Saiful Ridzuwan Selamat, Selangor ketinggalan pada minit ke-18 menerusi ledakan Ramazotti yang menerjah penjuru gawang tanpa mampu diselamatkan Khairulazhan Khalid.

Namun Selangor bangkit pada 10 minit terakhir babak kedua apabila Rufino Segovia berjaya mengatasi beberapa pemain pertahanan PKNS FC sebelum melepaskan rembatan menewaskan Tauffiq Ar Rasyid Johar untuk gol penyamaan pada minit ke-80 disusuli gol kedua jaringan pemain gantian, D Kugan yang menyudahkan hantaran K Kannan pada minit ke-89.

PKNS FC kendalian Datuk K Rajagobal bagaimanapun bernasib baik untuk tidak tewas di gelanggang sendiri selepas Ramazotti berjaya menanduk masuk bola sepakan percuma Bruno Matos pada minit ke-92 untuk mengikat kedudukan 2-2.

Dengan keputusan seri itu, Selangor kekal di tangga kelapan liga dengan 18 mata selepas beraksi 14 perlawanan sementara PKNS FC di tangga keenam dengan 20 mata tetapi sudah beraksi 15 perlawanan.

Selangor selepas ini akan bertemu Perak di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 19 Jun ini untuk perlawanan ke-16.

PKNS FC: 22. Tauffiq Ar Rasyid Johar; 6. Nik Shahrul Azim Ab Halim, 17. Azmizi Azmi, 8. Zac Anderson, 15. P Gunalan; 19. Bruno Matos, 21. Romel Morales, 4. Daniel Ting, 30. Faris Ramli; 10. Safee Sali (C), 29. Rafael Ramazotti.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid; 5. Amirul Ashraf Ariffin, 23. Willian Pacheco, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 3. K Kannan; 11. Faizzudin Abidin (19. Joseph Kalang Tie 45′) (30. D Kugan 77′), 4. Abdul Halim Zainal, 6. Evan Dimas; 17. Amri Yahyah (C), 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn.

Pengadil: Suhaimi Mat Hassan