ABK17

Liga Super: PKNP FC 0 Selangor 2

Selangor akhirnya berjaya menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam tujuh perlawanan Liga Super 2018 apabila menewaskan PKNP FC 2-0 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi untuk melonjak naik dua anak tangga ke kedudukan kelapan.

Perlawanan ke-11 itu yang sepatutnya berlangsung pada 23 Mei lalu terpaksa ditangguhkan ke tarikh baharu selepas ia tidak dapat dimulakan berikutan masalah lampu limpah di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

Pada aksi di Ipoh malam tadi, jurulatih Selangor, Nazliazmi Nasir memilih untuk mengekalkan kesebelasan sama ketika mereka tewas tipis 3-2 pada perlawanan ke-21 bertemu Melaka di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu.

Selangor berjaya mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Syahmi Safari yang pantas menyambar masuk bola hantaran Sean Eugene Selvaraj dari sebelah kiri pada minit ke-39.

PKNP FC kendalian Abu Bakar Fadzim beberapa kali juga cuba menguji pintu gol Selangor, namun penjaga gol muda, Haziq Ridwan beraksi cemerlang untuk menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.

Pada awal babak kedua, Selangor hampir melebarkan kedudukan selepas Ilham Udin Armaiyn berjaya menggelecek penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraf Omar, namun percubaannya pada minit ke-58 itu berjaya dikeluarkan pertahanan import tuan rumah, Ritus Krjauklis di depan pintu gol.

Kemasukan Amri Yahyah pada minit ke-78 nyata membuahkan hasil apabila kapten Selangor itu berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-82 selepas menyudahkan bola umpanan Rufino Segovia untuk memastikan kemenangan selesa 2-0 buat Red Giants.

Selepas beraksi 21 perlawanan, Selangor kini mengumpul 24 mata menerusi enam kemenangan, enam seri dan sembilan kali tewas, sama mata dengan pasukan tangga kesembilan, Kuala Lumpur manakala PKNP FC turun ke tangga ke-10 dengan 22 mata.

Selangor bakal berdepan pasukan tangga keempat, Terengganu FC pada perlawanan ke-22/terakhir Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad ini.

PKNP FC: 22. Ahmad Asyraf Omar; 37. Sabir Salim, 4. Ritus Krjauklis, 5. Muhammad Mohd Safar (27. Ahmad Khuzaimi Piee 65′); 13. S Deevan Raj (21. Norhakim Isa 46′), 29. Fadhil Idris, 36. Kim Sangwoo, 2. Ahmad Sukri Hamid (7. Ridzuan Azly Hussham 57′), 25. Hafiz Ramdan (C); 30. Fandi Ahmad, 6. Franklin Clovis Anzite.

SELANGOR: 22. Haziq Ridwan; 2. A Namathevan, 15. Ashmawi Yakin, 14. Alfonso De La Cruz Calero, 24. Syukri Azman; 20. Syahmi Safari, 6. Evan Dimas, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (C) (17. Amri Yahyah 78′), 7. Sean Eugene Selvaraj (30. D Kugan 67′); 10. Rufino Segovia, 18. Ilham Udin Armaiyn (28. Azizul Baharuddin 90′).

Pengadil: Zamzaidi Katimin