ABK17

Liga Super: Perak 3 Selangor 0

Selangor turun tiga lagi anak tangga ke kedudukan kelapan Liga Super 2018 selepas tewas 3-0 kepada Perak pada perlawanan kelima di Stadium TLDM, Lumut, malam tadi.

Selepas bermula cemerlang musim ini dengan dua kemenangan ke atas Kuala Lumpur dan Melaka untuk seketika memimpin tangga teratas liga, Selangor kendalian P Maniam mengalami dua kekalahan berturut kepada Terengganu dan Pahang.

Malam tadi, Selangor terus buntu untuk menambah kutipan mata apabila tiga gol pada babak pertama sudah cukup buat Perak naik tiga anak tangga ke kedudukan keenam dengan tujuh mata, satu mata mengatasi Selangor yang berkongsi enam mata bersama Kedah di tangga ketujuh serta Kuala Lumpur dan PKNP FC di tangga kesembilan dan ke-10.

Perak kendalian Mehmet Durakovic berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-21 selepas pertahanan Selangor, Ashmawi Yakin yang beraksi menggantikan kapten, Razman Roslan yang digantung satu perlawanan tertanduk masuk ke gawang sendiri bola lontaran jauh kapten Perak, Nasir Basharudin.

Selepas itu, berpunca daripada kesilapan pertahanan kanan, Syahmi Safari, pemain sayap Perak, Nor Hakim Hassan pantas melarikan bola ke sebelah kiri sebelum hantarannya dikuis cantik Wander Luis untuk membuka ruang buat Kenny Pallraj menjaringkan gol kedua Perak pada minit ke-35.

Ketika permainan memasuki masa kecederaan babak pertama, Perak berjaya menambah gol ketiga menerusi penyudah bertenaga Gilmar selepas penyerang import dari Brazil itu mengatasi dua pertahananan Selangor, Ashmawi dan Syahmi.

Bermula separuh masa kedua, Maniam terus melakukan dua pertukaran drastik dengan membawa masuk penjaga gol, Norazlan Razali menggantikan Khairulazhan Khalid manakala K Kannan masuk menggantikan Syahmi.

Selangor mula berjaya melancarkan serangan dan beroleh beberapa percubaan berbahaya menerusi Joseph Kalang Tie dan Amri Yahyah ketika penyerang import, Rufino Segovia dikawal ketat barisan pertahanan Perak tanpa banyak memberi ruang kepadanya.

Pada minit ke-63, Selangor memiliki peluang terbaik untuk memecah kebuntuan, namun percubaan Joseph Kalang dalam kotak penalti berjaya dikeluarkan pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim di atas garisan gol.

Malang terus menimpa Selangor apabila terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-85 selepas pertahanan import, Willian Pacheco dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas mengasari Nasir.

Namun kedudukan 3-0 itu terus kekal sehingga wisel penamat.

Selangor selepas ini akan bertemu Terengganu untuk perlawanan pusingan ketiga Piala FA 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat ini (16 Mac) sebelum menanti kunjungan PKNS FC di Cheras bagi perlawanan kelima Liga Super 2018 pada 1 April (Ahad).

PERAK: 22. Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy; 23. Amirul Azhan Aznan, 3. Shahrul Saad, 4. Robert Cornthwaite, 21. Nazirul Naim Che Hashim; 4. Nasir Basharudin (C), 8. Leandro dos Santos (2. Syazwan Zaipol Bahari 90′), 12. Kenny Pallraj (20. Nazrin Nawi 38′), 19. Nor Hakim Hassan (16. Misagh Bahadoran 83′); 10. Wander Luiz, 9. Gilmar.

SELANGOR: 1. Khairulazhan Khalid (21. Norazlan Razali 46′); 20. Syahmi Safari (3. K Kannan 46′),23. Willian Pacheco, 15. Ashmawi Yakin, 2. A Namathevan; 4. Abdul Halim Zainal, 6. Evan Dimas, 8. Saiful Ridzuwan Selamat (18. Ilham Udin Armaiyn 71′); 19. Joseph Kalang Tie, 10. Rufino Segovia, 17. Amri Yahyah (C).

Pengadil: Suhaimi Mat Hassan.